Kerajaan lancar video YouTube mengenai gangguan seksual untuk kanak-kanak

Menteri Wan Azizah dan timbalannya, Hannah Yeoh (kanan) menonton tangkap layar video yang menyasarkan kanak-kanak di YouTube.

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat melancarkan satu kempen video di YouTube bagi mewujudkan kesedaran mengenai gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak pra-sekolah.

Kanak-kanak yang menonton YouTube untuk belajar huruf, misalnya, akan didedahkan kepada video-video itu sebelum mereka boleh menonton program itu.

Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata 5 set video 1 minit itu yang dihasilkan dengan bantuan NGO itu sebahagian daripada projek perintis untuk mengurangkan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Beliau berharap kempen itu boleh mencapai 150,000 kanak-kanak pra-sekolah.

Wan Azizah berkata menerusi video itu, kanak-kanak boleh belajar bagaimana mengesan tingkah laku pemangsa seks.

Mereka akan diajar bagaimana mengesan pergerakan yang menimbulkan kesangsian oleh orang-orang di sekeliling mereka dan melaporkannya kepada ibu bapa dan pihak berkuasa.

Beliau berkata kempen itu menyasarkan kanak-kanak yang menonton YouTube kerana ibu bapa membenarkan mereka menontol saluran itu untuk hiburan dan pendidikan.

Ibu bapa bagaimanapun mesti mengehadkan masa kanak-kanak menonton televisyen, katanya kepada pemberita hari ini.

Timbalan Menteri Hannah Yeoh berkata video itu sebahagian daripada projek perintis bagi melihat kejayaannya di masa depan.

“Kami sedang mengujinya kerana kanak-kanak hari ini lebih berpengetahuan daripada kami mengenai penggunaan YouTube untuk hiburan dan pendidikan.

“Jadi sebelum mereka tonton program-program mereka di YouTube, mereka perlu tonton iklan itu dulu. Ini boleh membantu meningkatkan pengetahuan mereka mengenai gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata video itu akan mengajar kanak-kanak membezakan jenis sentuhan dan menggalakkan mereka melaporkan kejadian itu.

Beliau berkata kempen itu dijalankan dengan kerjasama Google, yang akan memantau program-program YouTube yang popular dalam kalangan kanak-kanak untuk menayangkan iklan-iklan itu.