Mahkamah batal prosiding hina mahkamah NFCorp terhadap Rafizi

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan permohonan yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan pengerusinya Salleh Ismail untuk memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Permohonan bagi prosiding itu difailkan pada Julai 2017 selepas Mahkamah Tinggi memutuskan untuk memihak kepada Salleh dan NFCorp dalam tuntutan mereka terhadap Rafizi.

Rafizi didakwa melanggar perintah injunksi dalam saman tersebut.

Peguam Rafizi, Razlan Hadri Zulkifli berkata hakim Mahkamah Tinggi Nik Hasmat Nik Mohamed mengetepikan perintah tersebut selepas pasukan undang-undang memberitahunya bahawa Rafizi memenangi rayuannya di mahkamah rayuan bulan lepas.

“Hakim merasakan tidak ada asas lagi untuk prosiding penghinaan itu, dan beliau mengetepikan perintah untuk Salleh memulakannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Hasmat di kamarnya.

Mahkamah Rayuan membenarkan Rafizi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Salleh membayar balik ganti rugi dan kos sebanyak RM300,000.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Salleh dan NFCorp, berkata mereka memfailkan permohonan kebenaran untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Mei.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 Julai untuk sebutan rayuan Salleh.

Rafizi didapati bersalah memfitnah Salleh pada 2016. Mahkamah Tinggi mengarahkan beliau membayar sejumlah RM300,000 untuk kos dan ganti rugi terhadap Salleh dan NFCorp.

Salleh mendakwa Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah pada 7 Mac 2012 di sidang media di pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City yang diterbitkan Malaysiakini pada hari yang sama.