Najib tanya keadaan Mat Sabu selepas terlepas temujanji penting

PETALING JAYA: Najib Razak malam tadi tertanya keadaan Mohamad Sabu yang terlepas temujanji penting dengan perdana menteri ekoran kelewatan pesawat Malaysia Airlines berlepas.

Beliau mengulas teguran pejabat menteri pertahanan kepada Malaysia Airlines atas kelewatan pesawat MH0002 yang menyebabkan pertemuan di London, England pada pagi 16 Jun lalu gagal berlangsung.

“Lain macam ‘angin’ ni, jangan baling mikrofon lagi dah la ya,” katanya di Facebook.

Najib juga tertanya kenapa Mohamad tiba-tiba menceritakan perkara yang berlaku 10 hari lepas menerusi kenyataan akhbar rasmi dengan kepala surat pejabat menteri pertahanan.

“Dia ‘okay’ ke tak?” katanya, dan menambah sudahkah Mohamad dan Dr Mahathir Mohamad bertemu di Kuala Lumpur selepas itu.

Menurut pejabat menteri pertahanan, temujanji di London gagal berlangsung kerana kelewatan MH0002 berlepas selama lebih kurang 2 jam 30 minit pada malam 15 Jun.

Pejabatnya berkata Mohamad singgah ke London semata-mata untuk bertemu Mahathir dalam perjalanannya untuk lawatan rasmi ke Perancis.

“Kesulitan ini amat dikesali dan diharapkan pihak Malaysia Airlines tidak akan mengulanginya pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.

Perdana menteri ketika itu berada di London dalam rangka lawatan kerja 3 hari ke United Kingdom mulai 15 Jun.