Operasi kilang plastik haram lumpuh selepas bekalan elektrik dipotong

6 kilang plastik haram di Klang berdegil dan terus beroperasi walaupun pernah disita serta diberi notis sebelum ini. (Gambar Bernama)

KLANG: Sebuah kilang memproses plastik haram yang masih beroperasi walaupun pernah disita 5 kali oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) akhirnya “lumpuh” apabila bekalan elektrik ke premis itu dipotong serta merta hari ini.

Kelulusan pemotongan bekalan elektrik itu adalah yang pertama kali diterima MPK daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan ia dilakukan dengan kerjasama sepasukan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pelabuhan Klang dalam satu operasi bersepadu ke atas kilang di Kawasan Perindustrian Air Hitam itu.

Tinjauan Bernama di 2 bangunan kilang berkenaan mendapati kali terakhir ia disita pada Rabu lepas namun masih giat memproses secara haram pelbagai jenis beg plastik terpakai dipercayai diimport dari negara Jepun, Eropah dan China.

Bagaimanapun, dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 9.30 pagi ini, pekerja kilang itu didapati melarikan diri.

Timbalan Pengarah Perlesenan MPK, Mohd Fahrulisa Mohd Isa berkata kilang berkenaan yang menggunakan nama “Opes Plastic Industry” dipercayai beroperasi sejak 4 tahun lepas dan ia 1 daripada 6 kilang plastik haram di kawasan sama yang masih berdegil dan terus beroperasi walaupun pernah disita serta diberi notis sebelum ini.

Lima lagi kilang plastik haram di kawasan sama setakat ini tidak lagi beroperasi selepas disita penguatkuasa MPK dalam beberapa serbuan sebelum ini namun masih di bawah pemantauan pihaknya.

“Kilang ini tidak pernah diberi lesen oleh MPK malah notis tunjuk sebab juga sudah dikeluarkan kepada pemilik premis ini. Kami juga menerima banyak aduan mengenainya daripada penduduk dan pengusaha kilang lain di sekitar kawasan ini kerana masih beroperasi.

“Namun pemilik premis tidak membuat sebarang tindakan susulan malah tidak memberi kerjasama (untuk hentikan operasi). Disebabkan itu, MPK terpaksa mengambil tindakan drastik untuk melaksanakan pemotongan bekalan elektrik bagi melumpuhkan terus operasi kilang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu itu, hari ini.

Fahrulisa berkata pemilik premis yang dipercayai warga tempatan itu juga diberi notis dan bakal berdepan tindakan mahkamah dalam masa terdekat.

MPK juga dalam usaha untuk menyita dan menutup terus 31 lagi kilang plastik haram yang dikesan masih beroperasi di daerah itu.

Beliau berkata, satu jawatankuasa yang diwujudkan sebelum ini akan terus memberi fokus kepada kilang haram berkenaan dengan memberi tumpuan utama kepada premis di Telok Gong, Pulau Indah dan Kawasan Perindustrian Air Hitam.