Penilaian Moody’s tidak jejas prestasi Petronas, kata Dr M

Jumaat lepas, Moody’s mengumumkan penurunan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar Petronas kepada A2 (stabil) daripada A1 (negatif).

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata penilaian Moody’s Investors Service (Moody’s) terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tidak akan menjejaskan prestasi syarikat minyak negara itu.

Beliau berkata Moody’s boleh membuat sebarang penilaian, tetapi tidak semua penilaian yang dilakukan oleh agensi itu tepat.

“Mereka (Moody’s) nak buat, buatlah. Kita tak semestinya kena ikut pendapat agensi. Kadang-kadang ada juga mereka buat penilaian tak betul, kita tak boleh tegur mereka sebab mereka bebas.

“Daripada segi yang kita lihat Petronas buat sekarang ini, saya yakin penurunan (penarafan) itu tidak akan menjejaskan kemajuan Petronas,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019), di sini hari ini.

Sabtu lalu, Petronas menegaskan asas kukuhnya kekal tidak berubah walaupun penarafan kreditnya diturunkan oleh Moody’s Investors Service.

Dalam kenyataannya, syarikat minyak negara itu berkata, ia secara konsisten mengekalkan dasar kewangan konservatif dan imbangan tunai bersih sihat yang membolehkannya menahan ketidaktentuan dan kejutan dalam pasaran.

Jumaat lepas, Moody’s mengumumkan bahawa ia menurunkan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar Petronas kepada A2 (stabil) daripada A1 (negatif).

Pengumuman itu dibuat selepas penerbitan metodologi rentas sektor yang dikemas kini bertajuk “Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain”, pada 20 Jun.