Peralihan kuasa: Perhitungan yang belum selesai

Kenyataan Rais Yatim bahawa tiada perjanjian hitam putih bagi peralihan kuasa perdana menteri menambahkan lagi situasi tidak harmoni dalam Pakatan Harapan (PH).

Pandangan seperti ini merupakan tanda bahawa perhitungan untuk peralihan kuasa belum selesai, walaupun wujud dakwaan bahawa Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang masalah antara mereka.

Sebenarnya, peralihan ini mempunyai masalah pada banyak cabang, seperti persaingan politik yang kuat antara pemimpin, budaya politik yang tidak berubah dan “sengketa lama” yang sengaja dihangatkan oleh pihak tertentu.

Sedangkan “perjanjian” ini diumumkan oleh Mahathir berulang kali sejak parti komponen PH bersetuju melantik beliau sebagai perdana menteri ke-7 pada Januari 2018.

Kegusaran tentang proses ini merebak ke semua pemimpin PH, daripada pergelutan dalaman PKR kepada kepimpinan PPBM. Bukan sahaja Rais Yatim yang mengkritik, tetapi pemimpin akar umbi turut bersuara.

Paling menarik, PAS dan Umno tumpang sekaki dengan menyokong kepimpinan Mahathir untuk memanaskan keadaan.

Terdapat beberapa sebab peralihan kuasa ini tidak tersusun dan menimbulkan keraguan daripada pelbagai pihak, khususnya rakyat.

Dalam hal ini, pemimpin PH menunjukkan disiplin yang rapuh dan tidak pegang kepada prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility) dalam membuat keputusan.

Mereka tahu bahawa ia adalah perjanjian konsensus yang dipersetujui bersama kepimpinan PH. Mereka tidak sepatutnya memainkan isu ini dan menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan rakan yang lain.

Lebih menghairankan apabila polemik ini keluar daripada mulut pemimpin veteran yang sudah lama bergiat dalam politik.

Sikap ini membuktikan bahawa sistem kepartian PH pada hari ini tidak pernah distrukturkan sehingga pihak kepimpinan parti sengaja menimbulkan keresahan.

Polemik ini bertambah sulit apabila proses peralihan kuasa perdana menteri ini tidak terbuka. Peralihan kuasa ini penting bagi rakyat untuk menentukan masa depan negara.

Umum mengetahui kedua-dua pemimpin ini saling berjumpa untuk membincangkan soal kerja dan proses peralihan kuasa.

Namun, ketiadaan keterangan yang konsisten dan terbuka dibuat oleh kedua-dua belah pihak menimbulkan syak wasangka dan kemunculan pelbagai pandangan yang tidak mencerminkan fakta.

Kerap kali kenyataan kedua-dua orang pemimpin utama ini bercanggah antara satu dan yang lain. Kemudian, ia meninggalkan rakyat dengan penuh tanda tanya dan was-was.

Apakah mereka tidak sedar bahawa pada zaman ini keterbukaan dan ketelusan amat penting?

Pihak PH juga tidak menerangkan dengan jelas mekanisme yang akan digunakan untuk memulakan peralihan kuasa perdana menteri.

Hal ini menyebabkan proses ini tidak diurus dengan berkesan dan terbuka. Di manakah bermulanya proses peralihan kuasa ini?

Ramai yang menyatakan bahawa Parlimen merupakan institusi yang perlu mengiktiraf peralihan kuasa ini dengan membawa usul menyokong PM baru.

Ada pula yang berpendapat bahawa ia harus mengambil persetujuan Majlis Presiden PH yang lebih fleksibel dalam membuat keputusan politik.

Sebahagian menyatakan ia perlu bermula dengan kelulusan sokongan Jemaah Menteri. Paling pasti, PH belum menerangkan bagaimana proses peralihan kuasa ini akan berlaku.

Peralihan kuasa perdana menteri kerap berlaku di Australia. Julia Gillard misalnya menggantikan Kevin Ruud sebagai perdana menteri pada tahun 2010. Kemudian, Tony Abbot pula digantikan oleh Malcolm Turnbull pada tahun 2015.

Kedua-dua peralihan kuasa itu melalui proses undian dalam kalangan kepimpinan parti. Mungkin, PH boleh menggunakan pendekatan sama untuk melakukan peralihan kuasa PM.

Tetapi, perkara ini berbeza dengan situasi PH. Mereka telah berjanji untuk peralihan kuasa berlaku sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi.

Malah, Anwar mendapat sokongan penuh selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan PKR. Ini kali pertama seorang ahli Parlimen yang bukan menteri Kabinet diangkat menjadi perdana menteri.

Terdapat pandangan bahawa Anwar perlu menjadi timbalan perdana menteri (TPM) untuk menjadi PM. Perlu diingat, dalam sejarah Malaysia selepas Merdeka, kita mempunyai 12 orang TPM, 5 orang sahaja atau 40% TPM yang berjaya menjadi perdana menteri.

PH mempunyai dua orang bekas TPM yang belum lagi menjadi perdana menteri. Maka, cadangan ini bukanlah satu jaminan proses peralihan ini berlangsung dengan mudah.

Membaca langkah politik lebih pening dan pelik. Politik boleh membuatkan kita membaca ABC bermula dengan huruf Z terlebih dahulu. Kadang kala mereka menganggap membaca ABC tak penting, belajar mengeja P.O.W.E.R itu lebih mudah (Politics of Win Eager Reckless).

Politik adalah soal siapa yang dapat, mengapa, bila dan bagaimana. Persoalan ini sesuai dengan proses peralihan kuasa perdana menteri. Pihak yang berunding dalam proses ini mesti ada yang untung dan mesti ada yang rugi.

Pastikan peralihan kuasa ini tidak merugikan rakyat yang sudah memberi sokongan untuk kepimpinan PH. Mereka keluar beramai-ramai pada 9 Mei untuk menjatuhkan rejim kleptokrasi dan rasuah. Ini bukan zaman 1999, ini zaman edan yang kuasanya terletak kepada rakyat.

Buat masa sekarang, perhitungan peralihan kuasa ini masih belum selesai.

Kita juga tertanya-tanya, jika Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, maka siapakah timbalan beliau? Adakah Mukhriz, Muhyiddin atau Azmin Ali?

Mungkin soalan ini boleh menjadi permulaan terbaik bagi membuat perancangan peralihan kuasa perdana menteri.

Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca FMT.

Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.