‘Saya tidak akan pegang jawatan PM lebih 3 tahun’, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata, beliau telah berjanji untuk berundur dan Anwar Ibrahim akan menggantikannya.

KUALA LUMPUR: Berpegang pada tekad untuk menyelesaikan masalah hutang negara, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak akan memegang jawatan perdana menteri melebihi 3 tahun.

Menurut CNBC, perdana menteri berkata, kerajaan pimpinan beliau memerlukan 3 tahun untuk mengurangkan hutang Malaysia daripada 80% Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 54%.

Ketika ditanya wakil CNBC Tanvir Gill, sama ada beliau akan terus memegang jawatan untuk melihat matlamat itu tercapai, Mahathir berkata, “tidak, saya tidak akan melebihi 3 tahun.”

Sebaliknya Mahathir berkata, keutamaan beliau adalah untuk membolehkan Malaysia “menyelesaikan masalah (hutang) ini”, sungguhpun selepas beliau berundur.

“Saya akan menjadi PM untuk membantu menyelesaikan masalah tertentu. Ia mungkin mengambil masa 2 tahun atau lebih, tetapi yang paling penting adalah untuk menyelesaikan masalah, lepas itu saya akan berundur, saya tidak mahu terus memegang jawatan ini,” katanya.

“Saya sudah berjanji akan berundur dan Anwar (Anwar Ibrahim) akan menggantikan saya,” kata Mahathir.