Senarai calon pesuruhjaya baru Suhakam diserah kepada PM , kata Liew

Sejak 16 Jun, Suhakam ‘lumpuh’ kerana kerajaan belum melantik pengerusi baru dan para pesuruhjayanya.

PUTRAJAYA: Senarai nama calon pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad seminggu lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

“Senarai nama calon itu diserahkan kepada perdana menteri untuk beliau membuat pengumuman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Dialog Peringkat Tinggi Kebangsaan Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia hari ini.

Sejak 16 Jun, Suhakam “lumpuh” kerana kerajaan belum melantik pengerusi baru dan para pesuruhjayanya.

Suhakam sebelum ini dipengerusikan oleh Razali Ismail yang meletak jawatan pada 16 April, hampir 2 minggu sebelum tempoh pelantikannya tamat pada 27 April.

Pada 25 April, 7 pesuruhjaya juga menamatkan penggal perkhidmatan 3 tahun mereka, iaitu Lok Yim Pheng, Mah Weng Kwai, Dr Aishah Bidin, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Francis Johen Adam, Godfrey Gregory Joitol dan Jerald Joseph.

Penggal pelantikan seseorang pesuruhjaya adalah 3 tahun. Kali terakhir pelantikan dibuat pada Julai 2016 dan dikebelakangkan kepada April tahun yang sama.

Liew berkata, Kabinet pada 20 Jun melulus dan mempersetujui cadangan supaya “Hak Asasi Manusia” diletak di bawah portfolio beliau dan akan dibantu oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

“Saya berharap perkembangan terbaru ini akan membuka laluan menuju ke depan yang penting dan positif dalam tadbir urus hak asasi manusia di Malaysia,” kata beliau.

Mengenai dialog berkenaan, Liew berkata, ia melibatkan pertukaran pandangan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia, selain wawasan kerajaan berhubung perkembangan Pelan Tindakan Negara Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAP-BHR).

“Kerajaan komited hendak memastikan perniagaan dan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jangkaan pasaran global mengenai tadbir urus yang baik, integriti, akauntabiliti dan ketelusan, selain penghormatan korporat terhadap hak asasi manusia,” kata beliau.