Tak cukup, Dr M tolak tawaran pampasan RM1 bilion Goldman Sacs

Goldman Sacs dilaporkan memperoleh bayaran sebanyak AS$600 juta sebagai yuran atas khidmatnya mengatur bon berkait 1MDB (Gambar Bloomberg).

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan tawaran pampasan sebanyak RM1 bilion daripada Goldman Sacs atas peranannya dalam skandal 1MDB sebagai “kacang putih”, dengan berkata ia “tidak mencukupi”.

Bercakap dalam temu bual dengan CNBC, beliau berkata, Kementerian Kewangan akan membuat keputusan mengenai jumlah pampasan sesuai yang perlu dituntut daripada bank pelaburan itu.

Dilaporkan Goldman Sacs memperoleh bayaran sebanyak AS$600 juta sebagai yuran atas khidmatnya mengatur bon berkait 1MDB.

Putrajaya memfailkan pertuduhan jenayah terhadap 3 anak syarikat Goldman Sacs Inc atas peranan mereka mengendalikan bon bernilai AS$6.5 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB.

Ini merupakan kali pertama sebuah negara memfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan AS itu.

Menurut Bloomberg, 4 saman telah diserahkan kerana Goldman Sacs (Asia) LLC yang berpangkalan di Delaware mempunyai 2 alamat.

Pertuduhan juga diserahkan kepada Goldman Sacs International (UK) dan Goldman Sacs (Singapura), kata timbalan pendakwa raya Aaron Chelliah hari ini.

Mahkamah menetapkan 30 September depan untuk pendengaran pra-perbicaraan selepas peguam Goldman Sacs berkata, pertuduhan tersebut tidak lengkap.

Peguam Hisyam Teh berkata, hanya 3 daripada 4 pertuduhan diserahkan kepada unit di Singapura, sementara ia hanya diterima oleh Goldman Sacs (Asia) minggu lepas.