Amanah bidas PAS tak patut guna perkataan provokatif ‘wajib’ jatuhkan PH

Hatta Md Ramli berucap pada Forum Ketua Pegawai Eksekutif SME di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebagai parti mamperjuangkan Islam, pemimpin PAS tidak sepatutnya menggunakan perkataan “wajib” dalam usahanya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, kata Pengarah Pilihan Raya Amanah, Dr Hatta Md Ramli.

Katanya, perkataan “wajib” mempunyai pelbagai tafsiran yang dibimbangi akan menjejaskan hubungan antara kaum di Malaysia.

“Penggunaan perkataan provokatif dan keras, saya rasa dalam konsep politik matang yang mereka perjuangkan tidak sesuai.

“Betullah sebagai parti pembangkang, apa lagi agenda politiknya melainkan mendapat kuasa, tapi dalam konteks mereka, parti yang memperjuangkan Islam, perkataan ‘wajib’ itu menimbulkan pelbagai interpretasi.

“Saya harap perkara ini tidak menambahkan semak politik negara kita sehingga boleh menjejaskan perpaduan kaum,” katanya selepas menghadiri Forum Ketua Pegawai Eksekutif SME di sini, hari ini.

Ahad lalu, Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu wajib menjatuhkan kerajaan PH.

“PAS berdepan dengan PH, hukumnya wajib menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika ini, hukumnya wajib. Perkara ini kita jangan khilaf. Kita bergerak ke depan dan jangan banyak toleh ke belakang,” katanya pada ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, kelmarin.

Hari ini, Hatta mengingatkan pimpinan PH supaya tidak terlalu selesa berada di Putrajaya, sebaliknya mereka perlu mencari jalan menyelesaikan isu dibangkitkan pembangkang, termasuk menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum tahun lalu.

“Kita kena cari jalan untuk baiki, menyelesaikan semua janji yang kita buat. Saya yakin dalam tempoh diperuntukkan kepada kita, penggal pertama ini apa juga yang dijanjikan boleh dilaksanakan.”

Mengenai kerjasama politik Umno-PAS, Hatta berkata, gabungan parti politik perlu mendapatkan sokongan semua kaum untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya.”

“Nak perintah Malaysia kena laksanakan politik inklusif melibatkan semua kaum, tidak boleh fokus satu kaum,” katanya yang menafikan kerjasama Umno-PAS akan memberi kesan kepada PH untuk kekal di Putrajaya.

Skandal seks sejenis

Hatta berkata, skandal seks sejenis tidak menjejaskan PH dan ia boleh diselesaikan secara baik oleh PKR.

“Sebagai rakan, kita kekal. Jadi kita nak yang terbaik, apa masalah parti, kita selesaikan bersama. PH akan kekal gabungan mantap.”

Pada 12 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengejutkan negara dengan mengakui dirinya seorang daripada 2 lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, bulan lalu.

Haziq yang dipecat daripada jawatan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin susulan pengakuan itu yang dimuat naik ke Facebook, turut menamakan Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video itu.

Bagaimanapun, menteri hal ehwal ekonomi itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.