Atlet luncur ais Korea diusir selepas buat gangguan seksual

Kesatuan Peluncur Korea memutuskan untuk menjauhkan semua 14 atlet luncur ais pasukan kebangsaan dari Jincheon selama sebulan.

SEOUL: Semua atlet pasukan pecut luncur ais jarak dekat Korea Selatan diusir dari pusat latihan nasional susulan insiden gangguan seksual membabitkan 2 atlet lelaki, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Korea (KSOC), seorang atlet pecut luncur ais jarak dekat menanggalkan seluar seorang rakan sepasukan lelaki lebih muda semasa latihan di depan atlet wanita yang hadir pada 17 Jun lepas di Pusat Latihan Nasional Jincheon, kira-kira 90km di selatan Seoul.

Atlet lelaki yang menjadi mangsa membuat laporan mengenai insiden itu kepada ketua jurulatihnya, yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Kesatuan Peluncur Korea (KSU).

Kedua-dua atlet lelaki yang terbabit merupakan pemenang pingat pada temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang, Korea Selatan.

Shin Chi Yong, ketua pusat latihan itu, memutuskan pada Isnin untuk menjauhkan semua 14 atlet luncur ais pasukan kebangsaan — 7 lelaki dan 7 wanita — dari Jincheon selama sebulan.

KSOC dilaporkan membuat persiapan untuk membincangkan langkah selanjutnya berdasarkan hasil siasatan KSU.

Insiden itu adalah titik hitam terkini kepada sukan yang dicemari skandal buruk dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Cho Jae Beom disabitkan dengan kesalahan melakukan serangan fizikal ke atas juara Olimpik, Shim Suk Hee, pada Januari, dan Cho akan dibicarakan atas pertuduhan berasingan kerana melakukan serangan seksual terhadap Shim.

Pada Februari, atlet luncur ais lelaki Kim Gun Woo digantung selama sebulan kerana menceroboh asrama wanita di Jincheon.

Kim Ye Jin, seorang atlet luncur wanita yang memberikan pas akses kepada Gun Woo bagi memasuki kawasan yang dikhaskan hanya untuk wanita itu, menerima teguran dan diperintah melakukan kerja khidmat masyarakat selama 10 jam.

Kedua-duanya turut kehilangan tempat masing-masing dalam pasukan kebangsaan menjelang kejohanan dunia pada Mac.