Bekas polis mahu SPRM siasat kes rasuah dalam rompakan 20 tahun lalu

Md Ali Amir Batcha (kiri) bersama wakil NGO Nadi Harapan menunjukkan salinan kronologi kes dan pihak yang didakwanya terlibat rasuah pada tahun 90-an di depan bangunan SPRM.

PUTRAJAYA: Seorang bekas anggota polis menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap beberapa anggota polis yang memfitnahnya sewaktu bertugas pada tahun 90-an sehingga beliau dibuang kerja.

Md Ali Amir Batcha, 65, yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (D9) dan dituduh terlibat dalam rompakan berkata, SPRM perlu melakukan siasatan terhadap anggota polis yang menerima rasuah dan melindungi penjenayah.

“Terdapat penyalahgunaan kuasa anggota dan pegawai polis terlibat dan melindungi penjenayah, yang mana jenayahnya pada ketika itu sudah saya bongkarkan, bersama-sama dengan pasukan,” katanya sewaktu ditemui FMT di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Terdahulu, Md Ali hadir ke Ibu Pejabat SPRM buat kali pertama, selepas Latheefa Koya dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM bagi menyerahkan maklumat terperinci berkaitan kesnya dan kronologi kes membabitkan pihak yang didakwanya menerima rasuah.

“Bagi saya, apa yang berlaku sejak lebih 20 tahun lalu masih lagi berlaku pada hari ini, ia tidak boleh didiamkan. Pada saya yang kena walaupun sudah lebih 20 tahun, peritnya masih rasa macam semalam berlaku.

“Penderitaan dan kerugian saya berlarutan sehingga sekarang, bukannya saya dapat ganti rugi, bahkan saya menderita. Isu kes ini sudah lama atau tidak bukan soalnya. Sekiranya ada kes, ia perlu dibongkar,” katanya.

Md Ali yang pernah ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997 selama 3 tahun di Simpang Renggam, berkata beliau tetap ditahan walaupun siasatan pada ketika itu tiada sebarang pengakuan jenayah yang dibuatnya.

Dakwa Md Ali, bekas pegawai tertinggi polis juga pernah mempengaruhi seorang timbalan menteri kanan pada 1997 untuk mengeluarkan notis perintah tahanan selama 2 tahun ke Simpang Renggam.

Katanya, beliau ditahan selepas menerima pertuduhan yang dijelaskannya sebagai palsu kerana melakukan 34 rompakan sekitar Johor, mengambil hasil rompakan, merancang melakukan samun di bank dan melakukan kesalahan rasuah.

Md Ali berkata, beliau menaruh sepenuh harapan dan keyakinan kepada Latheefa bagi menjalankan siasatan dan mengenal pasti anggota polis terlibat rasuah dan melindungi penjenayah.

“Saya sedia untuk membantu siasatan bahkan saksi-saksi yang masih hidup berkaitan kes saya juga pada bila-bila masa sahaja sedia untuk memberi keterangan dan menceritakan perkara sebenar,” katanya.

Pada Mei lalu, Md Ali hadir ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyerahkan notis dan menuntut tribunal khas diwujudkan bagi menyiasat tuduhan palsu berkaitan rompakan membabitkan dirinya sewaktu bertugas pada tahun 90-an.

Kesnya itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, yang akan memanggil untuk bertemu Md Ali bagi mendengar penjelasan mengenai perkara tersebut walaupun kes tersebut sudah lama berlaku.