Dalang cemar Pasir Gudang akan dikenakan tindakan tegas, kata Dr M

Pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort yang mengalami gejala sesak nafas dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk menerima rawatan semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang sekali lagi, selepas pembuangan sisa kimia mencemarkan Sungai Kim Kim di daerah sama pada Mac lalu.

“Sepatutnya selepas insiden di Sungai Kim Kim sebelum ini, tak berlaku lagi.

“Tetapi, nampaknya ada industri-industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan sebab itu kita perlu kenal pasti siapa yang cemarkan iklim ‘body’ itu,” katanya selepas ucaptama di Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Pendidikan Johor mengumumkan semua 111 sekolah rendah dan menengah, 3 institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta di Pasir Gudang ditutup mulai hari ini hingga 27 Jun untuk menangani pencemaran di daerah itu.

Ia selepas pelajar di 8 sekolah dipercayai turut mengalami gejala muntah dan sesak nafas.

Semalam, Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, punca pencemaran di Pasir Gudang sejak Khamis lalu akan diketahui dalam sehari dua lagi kerana 30 kilang kimia di daerah itu disenarai pendek untuk menentukan sama ada bahan kimia diproses mereka ialah punca pencemaran terbaru itu.