Dikaitkan dengan surat layang, timbalan menteri ancam saman blog

PETALING JAYA: Timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkannya dengan surat layang mengkritik Menteri Mohamaddin Ketapi yang tersebar di WhatsApp.

Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata demikian susulan tulisan sebuah blog mendakwa surat luahan hati kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu didalangi Muhammad.

“Saya tidak mempunyai kaitan dengan surat layang berkenaan. Saya sedang berunding dengan peguam untuk mengambil tindakan terhadap laman yang melaporkan perkara itu,” katanya kepada FMT.

Selain Muhammad, blog itu turut mengaitkan ketua setiausaha kementerian dengan surat itu.

“Saya sudah buat laporan polis,” kata Isham Ishak kepada FMT. “Benda ini tidak betul dan berbahaya.”