Kelab Akhbar P Pinang akan pulangkan sumbangan RM50,000 berkaitan 1MDB

GEORGE TOWN: Sebuah kumpulan wartawan berkata ia akan mengadakan mesyuarat tergempar esok bagi membincangkan pembayaran balik sumbangan RM50,000 yang diterima daripada badan kebajikan berkaitan 1MDB pada 2013.

Presiden Kelab Akhbar Pulau Pinang, Wong Soon Eng berkata ia sedia membayar balik dana itu tetapi ia perlukan keputusan rasmi jawatankuasa untuk berbuat demikian.

“Kami akan menggunakan saluran yang betul untuk memulangkan wang itu kepada pihak berkenaan. Usul membayar balik wang itu akan dibentangkan pada mesyuarat Khamis ini,” katanya kepada FMT.

Komen Wong itu selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyeru kumpulan-kumpulan wartawan supaya memulangkan wang yang diterima daripada badan-badan kebajikan berkaitan 1MDB secara sukarela.

Lim tidak menamakan kumpulan-kumpulan itu dan berkata mereka perlu memulangkannya atau berdepan risiko akaun mereka dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menyiasat hal ehwal 1MDB.

Ini kali kedua Lim menimbulkan isu sumbangan itu, kali pertama pada Oktober.

Pada April 2013, dilaporkan Kelab Akhbar Pulau Pinang, Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Media Cina Pulau Pinang (Pewaju) dan Kesatuan Wartawan Utara Malaya (JUNM) menerima RM50,000 daripada Kelab Kebajikan Pulau Pinang 1Malaysia (1MPWC).

Wang itu dilaporkan sebahagian daripada RM2.2 juta yang diberikan 1MPWC kepada 106 badan bukan kerajaan.

Pewaju enggan mengulas kerana ia sudah menjelaskan tahun lalu bahawa ia menyumbangkan RM50,000 itu kepada 2 kerja-kerja amal pada 2015, seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

JUNM belum menjawab pertanyaan FMT.

1MPWC memberikan sumbangan kepada kumpulan-kumpulan wartawan tanpa sebarang syarat, lapor Malaysiakini.