Kerajaan belum putuskan jika mahu dedah laporan RCI Wang Kelian

Lebih 100 rangka manusia dipercayai milik pelarian Rohingya ditemui dalam 139 kubur di puncak Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada 2015. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan belum memutuskan sama ada mahu mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan belum menerima laporan daripada panel RCI itu.

“Kita belum terima laporan, bila dah siap laporan, kita akan teliti.

“Selepas itu, kita akan buat keputusan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

RCI ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian berakhir 18 Jun lalu, selepas prosiding selama 17 hari membabitkan 48 saksi.

Sebelum ini, Pengerusi RCI, Arifin Zakaria dilaporkan berkata, terpulang kepada Putrajaya sama ada mahu mendedahkan laporan itu.

Pada Mei 2015, pihak berkuasa menemui 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma, Wang Kelian, dekat sempadan Malaysia-Thailand.

Lebih 100 rangka manusia dipercayai milik pelarian Rohingya ditemui dalam kubur itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengkaji permintaan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador untuk menaikkan gaji anggota polis berpangkat rendah.

“Ia tak perlu bawa ke Parlimen kerana ia bukan usul yang baru, ia rayuan. Rayuan sejak dulu lagi, mungkin sekarang ia disebut balik.

“Perkara ini tak boleh diputuskan secara ‘ad hoc’, persendirian. Ia perlu pertimbangan agensi dan jabatan, termasuk Kementerian Kewangan.”

Baru-baru ini, Hamid dilaporkan berkata, gaji lebih tinggi ialah satu-satunya cara mengurangkan risiko rasuah dan godaan lain untuk anggota polis melakukan jenayah bagi mendapatkan wang.