Kondo, banglo mewah jadi pusat judi antarabangsa, lebih 1,000 ditahan

Polis merampas 4,683 unit peralatan perjudian serta wang tunai RM42,628 dan mata wang asing Yuen 6,000 (RM3,611.73).

KUALA LUMPUR: Kondominium, banglo mewah dan pejabat komersial dikenal pasti dijadikan pusat panggilan sindiket judi antarabangsa di negara ini untuk menarik kaki judi menerusi laman web atau aplikasi perjudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata sindiket yang kebanyakannya didalangi rakyat China dan Indonesia dengan bantuan rakyat tempatan itu dikesan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pusat khidmat.

Beliau berkata seramai 1,228 individu ditahan disyaki terlibat sindiket judi antarabangsa menerusi 75 serbuan sejak hujung tahun lepas hingga kini, dan polis merampas 4,683 unit peralatan perjudian serta wang tunai RM42,628 dan mata wang asing Yuen 6,000 (RM3,611.73).

“Kondominium serta banglo mewah dan pejabat komersial dijadikan sebagai pusat panggilan untuk menarik kaki judi di negara masing-masing menerusi laman web atau aplikasi perjudian,” katanya pada sidang akhbar khas JSJ, di Bukit Aman, semalam.

Huzir berkata peralatan komputer dan telefon bimbit yang dirampas membuktikan kegiatan judi dijalankan di China dan Indonesia dengan menggunakan kemudahan e-wallet seperti WeChat serta kemudahan perbankan internet di negara mereka.

Tiada pemain tempatan dan penggunaan akaun tempatan dikesan dan masyarakat digesa agar prihatin terhadap pergerakan rakyat asing yang mencurigakan, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, JSJ telah mengenal pasti 55 sindiket maksiat yang beroperasi di seluruh negara dengan tumpuan di beberapa kontinjen utama seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor dan Kuala Lumpur.

“Sejumlah 31 individu telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sejak April 2014 sehingga Jun tahun ini,” katanya.

Huzir berkata tindakan drastik akan diambil termasuk penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) jika sindiket dikesan terlibat dalam jenayah terancang.

Beliau berkata sebanyak 2,537 serbuan dijalankan pada awal Januari sehingga Mei tahun ini berbanding 2,246 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Operasi tertumpu di kontinjen Johor, Selangor dan Kuala Lumpur dan majoriti tangkapan adalah warganegara asing seperti Vietnam, Thailand dan China yang menyalahgunakan pas lawatan bagi tujuan menyalahi undang-undang,” katanya.

Huzir berkata tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) akan digunakan,” katanya.