Mahkamah arah Umno, 6 yang lain respon saman pelucuthakan SPRM
7 individu dan organisasi diberi masa sehingga 25 Julai untuk memberi maklum balas terhadap saman pelucuthakan yang difailkan pihak pendakwaan.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Umno dan 6 individu lain memberi maklum balas terhadap saman pelucuthakan oleh kerajaan terhadap mereka sehingga 25 Julai.
Hakim Zaini Mazlan membuat perintah tersebut apabila 7 kes itu disebut hari ini.
“Semua responden perlu memfailkan afidavit mereka sebagai balasan kepada permohonan pendakwaan pada 25 Julai,” katanya.
Sementara itu, pihak pendakwaan diberitahu untuk memfailkan jawapannya kepada 7 saman tersebut pada 15 Ogos.
Mahkamah juga menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula 7 kes saman itu.
Kerajaan berusaha mendapatkan pelucuthakan lebih RM216 juta daripada Umno, bekas ahli parlimen Umno Abdul Manan Ismail, bekas menteri Hasan Malek, Wanita MCA, Umno Sabah dan 2 syarikat, Binsara Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd.
Umno dikatakan adalah penerima terbesar dana tersebut iaitu lebih RM212 juta.
Dalam saman mereka, kerajaan mendakwa wang yang diberikan kepada individu dan organisasi intu adalah dana daripada aktiviti haram seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 4 Akta Pencengahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan mewartakan notis kepada pihak ke-3 yang mahu menuntut wang yang disita itu.
Tidak ada bantahan terhadap cadangan itu daripada peguam yang mewakili 7 individu dan organisasi terbabit.
Zaini kemudian berkata pendakwaan dibenarkan penwartaan notis pada 28 Ogos.
Kamal juga berkata pihak pendakwaan sedang berusaha meminda saman terhadap Manan, yang meninggal dunia pada Februari tahun lepas.
“Kami mahu menggantikan tuntutan itu dengan nama isterinya,” katanya.
Balu Manan, Rohizah Ahmad, hadir di mahkamah hari ini. Kerajaan berusaha mendapatkan pelucuthakan lebih RM265,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bekas ahli Parlimen Paya Besar itu.
Mahkamah menetapkan 4 Julai untuk sebutan kes.
Minggu lalu, SPRM memfailkan saman pelucuthakan hak ke atas 41 individu dan entiti bagi mendapatkan semula wang yang didakwa dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kerajaan cuba mendapatkan semula wang berjumlah RM270 juta.