Malaysia Airlines perlu lebih daripada perubahan pengurusan, kata PM
Dr Mahathir Mohamad berkata, ada banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam syarikat penerbangan nasional itu.
Perdana menteri berkata, banyak perkara yang silap dalam Malaysia Airlines perlu diperbetulkan.
“Kami telah membuat perubahan kepada Malaysia Airlines dan setiap kali lakukannya mereka gagal.
“Jadi, kami perlu berhati-hati (dengan) setiap langkah yang diambil,” katanya selepas menyampaikan ucaptama di Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, hari ini.
Malaysia Airlines gagal mencapai kedudukan 20 teratas untuk tahun ke-5 dalam satu kaji selidik syarikat penerbangan antarabangsa.
Ia menduduki tangga ke-18 pada 2014, sebelum jatuh ke kedudukan 24 pada 2015, 34 pada 2016, 31 pada 2017, 34 pada 2018 dan 36 tahun ini.
Susulan itu, 2 veteran Malaysia Airlines, termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif menggesa kerajaan membaik pulih pengurusan syarikat itu.
Hari ini, Mahathir berkata, kerajaan mahu menjual Malaysia Airlines, tetapi akan mengekalkan identitinya sebagai syarikat penerbangan negara.
“Kita sedang mencari pembelinya.”
Jumaat lalu, Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menjual Malaysia Airlines jika mendapat tawaran baik.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Tetapi, katanya, kerajaan akan memastikan pembeli berpotensi mampu menguruskan syarikat itu dengan baik terlebih dahulu.