Malaysia sokong usaha ASEAN bida hak tuan rumah Piala Dunia 2034

Pengerusi ASEAN, Jeneral Prayuth Chan o-cha, yang juga Perdana Menteri Thailand, mengumumkan badan serantau itu bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Idea untuk menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu telah dicadangkan kepada pemimpin negara Asia Tenggara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Thailand yang berakhir semalam.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat ASEAN yang hari ini, pemimpin menyokong hasrat bersama ASEAN untuk membangunkan sebuah pembidaan bersama untuk menjadi tuan Piala Dunia FIFA pada 2034.

”Dalam hal ini, saya ingin mempelawa semua rakyat ASEAN untuk bersama-sama menyokong persatuan bola sepak kebangsaan anggota negara ASEAN dengan tujuan merealisasikan impian ini secara bersama,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran Piala Dunia tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan semua negara di Asia Tenggara berpeluang menjadi tuan rumah jika mereka membida secara bersama.

“Kami merasakan secara sendirian (satu negara), kami tidak akan berpeluang untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia. Mungkin semua negara anggota ASEAN bersama, kita dapat menganjurkannya.

“Sudah tentu perlawanan boleh diadakan di semua negara anggota ASEAN seperti apa yang berlaku semasa Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama pada 2002,” katanya.

Jepun dan Korea Selatan adalah dua negara Asia yang pernah menjadi tuan rumah bersama ketika kejohanan Piala Dunia 2002.

Qatar akan menjadi negara Asia ketiga yang menganjurkan Piala Dunia pada tahun 2022.

Tahun lepas, 3 negara dari Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam bersepakat menyatakan hasrat untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Bagaimanapun, Malaysia belum pasti menyatakan pendirian mereka tetapi sentiasa menyokong usaha untuk menjadi tuan rumah bersama kerana Piala Dunia dapat menyatupadukan rakyat di rantau ASEAN.

Sumber semuanyabola.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]