McDonald Korea didenda amal perniagaan tidak adil

McDonald Korea secara langsung menguruskan 317 restoran dan memiliki 130 francaisi di seluruh negara itu.

SEJONG: Regulator antitrust Korea Selatan pada Selasa berkata ia mendenda McDonald Korea sebanyak 52 juta won (AS$45,000) kerana didapati melanggar undang-undang berkaitan perniagaan francais.

McDonald Korea didakwa menerima fi francais bernilai 544 juta won daripada 22 bakal pemegang francais antara September 2013 dan November 2016, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Suruhanjaya Perdagangan Adil (FTC).

Di bawah undang-undang itu, francaisi dikehendaki mendeposit fi francais di institusi kewangan yang ditetapkan.

Suruhanjaya itu juga berkata McDonald Korea tidak menyediakan sebarang kenyataan pendedahan maklumat, yang membabitkan status semasa lokasi francais jiran, kepada 15 bakal pemegang francais antara Mei 2014 dan November 2015.

Pada 2017, McDonald Korea secara langsung menguruskan sejumlah 317 restoran dan memiliki 130 pemegang francais di seluruh Korea Selatan.