Mukhriz tarik rayuan fitnah ke atas bekas pemimpin DAP

Timbalan Presiden PPBM dan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir menarik balik rayuannya terhadap penolakan saman fitnah ke atas bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mendakwa ada pakatan sulit menjanjikan Mukhriz menjadi perdana menteri.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pendengaran rayuan yang dijadualkan di Mahkamah Rayuan hari ini dibatalkan kerana kedua-dua pihak menyelesaikan kes itu berdasarkan “syarat dirahsiakan”.

“Tak datang (ke mahkamah) kerana penyelesaian secara peribadi,” katanya melalui pesanan teks.

Difahamkan, Mukhriz yang juga menteri besar Kedah, memfailkan notis penghentian terlebih dahulu.

Pada 31 Mei 2018, Hakim Mahkamah Tinggi, Nordin Hassan menolak saman itu selepas mendapati 2 kenyataan Tunku Aziz bertarikh 30 Disember 2016 dan 3 Januari 2017, tidak memfitnah Mukhriz.

Nordin turut memerintahkan Mukhriz membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Tunku Aziz.

Hakim itu dilaporkan berkata, 2 kenyataan itu tidak menyerang integriti Mukhriz sebagai ahli politik.

Mukhriz menyaman Tunku Aziz pada 2017 berhubung dakwaannya wujud pakatan sulit untuk menjadikan Mukhriz sebagai perdana menteri dan veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam samannya, beliau menuntut ganti rugi dan permohonan maaf daripada Tunku Aziz.

Bapa Mukhriz, Dr Mahathir Mohamad ketika itu berkata, beliau tidak pernah mendesak anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi perdana menteri.

Mukhriz dilantik semula untuk menerajui Kedah selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lalu, manakala Mahathir pula menjadi perdana menteri buat kali ke-2.

Presiden PKR ketika itu dan Ahli Parlimen Pandan, Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai timbalan perdana menteri.