Pengerusi Felda letak jawatan kerana masalah kesihatan, kata Dr M

Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang didakwa akan meletak jawatan sebagai pengerusi Felda, kurang setahun selepas pelantikannya disebabkan masalah kesihatan.

“Dia kurang sihat dia kata masih tak sihat, sebab itu dia minta supaya dilepaskan,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Berita Harian memetik satu sumber berkata satu emel yang ditulis oleh Megat Zaharuddin diedarkan kepada kakitangan dalaman Felda yang menyebut beliau akan meninggalkan lembaga itu pada 30 Jun 2019.

Menerusi surat itu, beliau berkata beberapa pelan transformasi diperkenalkan dan diketengahkan selama setahun beliau berada di Felda.

“Itulah perjalanan dan pembabitan saya selama berkhidmat di sini. Namun begitu, perjalanan saya sudah sampai ke penghujungnya.

“Dengan itu pada hari ini, dengan berat hati saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai pengerusi Felda,” katanya memetik salinan emel tersebut.

Megat Zaharuddin dilantik menjadi pengerusi Felda pada 27 Julai 2018.

Sebelum menyertai Felda, Megat Zaharuddin merupakan pengerusi Maybank selama 7 tahun.