PH janji waktu pertanyaan PM di Parlimen, Bersih ingatkan menteri

Bersih 2.0 berkata, dalam manifesto PRU14, PH berjanji akan memperuntukkan 30 minit untuk waktu pertanyaan PM di Dewan Rakyat setiap minggu dalam usaha mengembalikan maruah Parlimen.

PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 menggesa kerajaan mempertimbangkan pindaan terhadap Peraturan-peraturan Majlis Dewan Rakyat untuk mengadakan waktu pertanyaan perdana menteri seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum tahun lalu.

Bersih merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong yang berkata, tiada keperluan mengadakan waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat kerana memadai dengan waktu pertanyaan menteri pada Selasa dan Khamis.

“Kami ingin mengingatkan menteri undang-undang bahawa Janji 16 Manifesto PH memperuntukkan 30 minit untuk waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat setiap minggu, sebagai janji untuk mengembalikan maruah Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bersih berkata, tiada jaminan untuk memastikan perdana menteri akan datang ke Parlimen menjawab soalan, walaupun perdana menteri sedang menggunakan waktu pertanyaan menteri untuk berbuat demikian.

Katanya, perdana menteri sebagai ketua eksekutif Kabinet perlu bertanggungjawab bagi pihak kerajaan menerusi waktu pertanyaan khusus memandangkan beliau memegang terlalu banyak kuasa untuk membuat keputusan.

“Keutamaan kerajaan PH adalah untuk mengembalikan kebebasan dan kekuatan semua cabang kerajaan serta institusi awam supaya kita tidak lagi perlu mengulangi salah guna kuasa perdana menteri dan rasuah yang kita telah saksikan sebelum ini.

“Adanya waktu pertanyaan perdana menteri bukan saja dapat memberikan ahli Parlimen menyoal PM isu-isu utama negara, malah menjadi simbol Malaysia Baru di mana kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan wujud sehingga ke peringkat tertinggi kerajaan.”