Polis diarah buat sekatan halang bawa keluar sisa toksik

JOHOR BAHRU: Polis diarah membuat sekatan jalan raya di Pasir Gudang dan kawasan sekitar bagi memastikan tidak berlaku aktiviti membawa keluar sisa toksik secara runcit oleh industri.

Arahan dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan berlakunya insiden sesak nafas dan muntah membabitkan murid dan pelajar dari beberapa sekolah di kawasan itu baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata sekatan dilakukan sejak 21 Jun lepas membabitkan seramai 30 anggota polis setiap hari.

“Asasnya kita takut dia bawa sisa toksik itu keluar,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa sama akan melaksanakan operasi bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bagi memastikan 250 lagi kilang yang dikenal pasti mengendalikan bahan berbahaya mematuhi tatacara operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

“Bagi mengelak insiden sama berlaku, tindakan tegas penahanan operasi akan dikenakan kepada industri yang didapati melanggar SOP yang digariskan,” katanya.

Tambahnya, 30 premis terdahulu yang disenarai pendek pihak berkuat kuasa kerana berisiko tinggi menyumbang kepada punca insiden berkenaan telah diperiksa dan hasilnya 1 daripada premis berkenaan iaitu premis yang memproses sisa toksik diarah melupuskan sisa serta-merta.

“Sekarang kita lupuskan dulu bagi memastikan keadaan di Pasir Gudang selamat. Pelupusan sudah pun bermula dan dilakukan oleh premis itu sendiri dan akan disambung esok,” katanya.

Ditanya berapa jumlah sisa toksik yang dilupuskan itu, Khuzzan berkata itu akan dimaklumkan kemudian, namun beliau menegaskan ia tidak ada kena-mengena dengan sisa toksik dari pencemaran Sungai Kim Kim.

“Kita sudah mengambil sampel sisa toksik berkenaan untuk siasatan lanjut mengenai kaitannya dengan pencemaran udara kali ini,” tambahnya.

Berhubung mangsa yang masih diwad dan dirawat di hospital, beliau berkata setakat 12 tengah hari tadi, tiada kes baru dilaporkan, selain 9 orang yang masih berada di wad.

Semua mangsa berumur dari 8 hingga 17 tahun.

“Perkembangan positif ini hasil keputusan kerajaan menutup 111 buah sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, 3 institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Johor, mulai 25 hingga 27 Jun.

“Penutupan ini signifikan memandangkan dari hari pertama kejadian, mangsa yang terlibat terdiri daripada pelajar sekolah dan kanak-kanak di sekitar Pasir Gudang,” katanya.