Syarikat simen di Sarawak tak bercadang naik harga

(Gambar Facebook)

KUCHING: CMS Cement Industries Sdn Bhd (CMSCI), anak syarikat Cahya Mata Sarawak Bhd, tidak bercadang untuk menaikkan harga simennya dalam masa terdekat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suhadi Sulaiman.

Menjawab gesaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar pihak berkuasa menyiasat perbezaan harga simen antara Sarawak dan Semenanjung, beliau berkata siasatan akan menunjukkan CMSCI tidak menaikkan harganya sejak Januari 2016.

“Kami mengalu-alukan siasatan itu atas 2 sebab. Pertamanya, ia akan menunjukkan perbezaan harga itu semata-mata disebabkan perang harga agresif baru-baru ini yang membawa kepada penggabungan dan pengambilalihan industri di Semenanjung Malaysia.

“Keduanya, siasatan itu juga akan betul-betul menunjukkan Sarawak bukan dan tidak pernah menjadi monopoli simen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata siasatan diperlukan untuk menentukan sama ada amalan monopoli perindustrian tempatan di Sarawak menyebabkan harga simen yang tinggi di negeri itu.

Harga simen di Sarawak, katanya, jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Suhadi berkata pemain industri lain dialu-alukan untuk membuka kedai di negeri ini tetapi memilih untuk tidak memasuki Sarawak kerana kos pemula awal bagi pembangunan prasarana dan pengangkutan menjadikan ia tidak berdaya maju.

Menurutnya, CMSCI dapat mengimbangi dan menyebarkan kos operasi tahun demi tahun dengan beroperasi selama lebih 40 tahun.

“CMSCI akan bekerjasama dengan telus dan terbuka kerana sebarang siasatan akan menunjukkan kami beroperasi pada tahap integriti perniagaan dan runcit tertinggi,” katanya.