Usir warga asing tak selesai konflik Rakhine, kata PM

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, mengusir “warga asing” bukan cara untuk menyelesaikan konflik berterusan antara Myanmar dan Rakhine yang menyaksikan ribuan orang kehilangan tempat tinggal mereka.

Perdana menteri mengimbau tindakan Uganda mengusir warga India dahulu, sebelum komuniti itu diterima semula untuk membantu memajukan negara Afrika Timur itu.

“Saya rasa mengusir warga asing kerana mereka berlainan atau mendakwa mereka ialah orang asing dan bukan warganegara bukan cara baik untuk menyelesaikan masalah,” katanya ketika diminta mengulas cara Malaysia akan menangani orang kehilangan tempat tinggal di rantau ini.

“Saya yakin jika orang di negeri Rakhine diberikan hak mereka, Myanmar akan maju dan semua orang dapat manfaat,” katanya selepas ucaptama Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini.

Merujuk keputusan Malaysia memberi taraf kewarganegaraan kepada orang Cina dan India yang dibawa masuk penjajah British ke Malaya, Mahathir berkata, ia adalah baik untuk “berubah berdasarkan keadaan”.

Katanya, orang di Myanmar mungkin ada pandangan lain mengenai cara menyelesaikan krisis itu, tetapi adalah “baik untuk lihat cara negara lain menyelesaikan isu domestik”.

Mengikut statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, konflik di Myanmar menyebabkan kira-kira 30,000 orang kehilangan tempat tinggal sejak 6 bulan lalu.

Ia turut menyaksikan pengusiran sistematik 730,000 etnik Rohingya beragama Islam sejak 2017, di mana penyiasat PBB menyalahkan tentera Myanmar atas tindakan itu.

Terdahulu, Mahathir menerusi ucaptamanya berkata, krisis itu dapat diselesaikan jika semua pihak sedia berunding atas dasar keamanan.

“Kami yakin prospek sedemikian boleh berlaku di negeri Rakhine di Myanmar antara kerajaan, kumpulan ‘vigilante’ dan masyarakat Rohingya.”