Veteran gesa baik pulih selepas Malaysia Airlines jatuh kedudukan dunia

Malaysia Airlines gagal mencapai kedudukan 20 teratas dalam kaji selidik tahunan Skytrax iaitu World’s Top 100 Airlines.

PETALING JAYA: Dua veteran dari Malaysia Airlines, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif menggesa penambahbaikan pengurusan syarikat penerbangan itu selepas kegagalannya mencapai kedudukan 20 teratas bagi tahun ke-5 dalam kaji selidik syarikat penerbangan antarabangsa.

Mereka berkata Malaysia Airlines kehilangan kelasnya apabila jatuh 2 anak tangga dari tempat ke-36 dalam kaji selidik tahunan Skytrax iaitu World’s Top 100 Airlines.

Malaysia Airlines tidak menduduki tempat 20 teratas sejak 2014 apabila menduduki tempat ke-18, jatuh dari kedudukan ke-24 pada 2015 kepada kedudukan ke-34 pada 2016, memperoleh tempat ke-31 pada 2017 dan ke-34 sekali lagi tahun lepas.

Keputusan baru-baru ini dikritik Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) yang menggesa pihak pengurusan tertinggi dipecat.

Mohd Jabarullah Abdul Kadir, bekas penasihat Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Malaysia, berkata lembaganya mestilah terdiri daripada mereka yang memahami penerbangan dan industri.

Jabarullah berkata beliau bersetuju dengan Nufam bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mengetahui apa yang salah dengan syarikat penerbangan negara yang sebelum ini memenangi banyak anugerah.

Beliau menggambarkannya sebagai “kesilapan yang tidak dapat dimaafkan” dengan langkah mengupah orang luar, memecat kakitangan dan menutup fasiliti kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Beliau juga berkata kakitangan yang tidak berpuas hati dengan perkembangan syarikat penerbangan itu mencari peluang pekerjaan dengan pesaing seperti Malindo dan AirAsia.

“Sekarang apabila kita mahu mengembangkan dan mengupah juruterbang dan jurutera, kita perlu membelanjakan lebih banyak untuk mengupah mereka dari luar,” katanya.

Jabarullah berkata kebanyakan kakitangan Malaysia Airlines sekarang mempunyai pengalaman dan keupayaan yang boleh mengubah syarikat itu.

“Jika anda mengumpul kakitangan untuk sesi ‘brainstorming’, saya pasti mereka akan melontarkan idea.

“Jika perdana menteri atau menteri hal ehwal ekonomi beri kita peluang, kita boleh mengumpulkan 60 hingga 70 orang yang boleh menyumbang untuk membantu syarikat penerbangan itu,” katanya.

Jabarullah juga mendakwa AirAsia diberikan lebih banyak keistimewaan berbanding Malaysia Airlines, dan berkata syarikat penerbangan negara itu harus diberi keutamaan dalam akses kepada kemudahan dan hak lalu lintas udara.

“Di mana-mana di dunia, syarikat penerbangan negara mempunyai tempat yang istimewa,” katanya dengan memberi contoh Emirates Airlines di Dubai dan British Airways.

Bekas ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Malaysia Airlines, Abdul Aziz Abdul Rahman bersetuju syarikat penerbangan itu tidak akan pulih jika tidak ada perubahan dalam pengurusannya.

Katanya, ia juga penting bagi syarikat penerbangan itu mengkaji semula dasarnya, sambil menambah kegagalan untuk mencapai keudukan 20 teratas dalam kaji selidik Skytrax menunjukkan ia kehilangan “percikannya”.

“Sangat menyedihkan kerana ia digunakan sebagai pengangkutan kebangsaan kita dengan kelas, tetapi sekarang kita kehilangan kelas.

“Ia masih boleh diselamatkan,” katanya, merujuk kepada pemulihan, “tetapi terpulang kepada kerajaan sama ada mereka mahu memulihkan atau tidak.”

Aziz yang bertugas di Malaysia Airlines dari 1982 hingga 1992, sebelum ini mendakwa AirAsia adalah punca kepada masalah sistem pengangkutan itu.

Beliau berkata pada peringkat awal, AirAsia dibenarkan mengenakan tambang yang sangat rendah untuk perjalanan domestik yang tidak dapat ditandingi oleh Malaysia Airlines.

Malaysia Airlines kini diuruskan oleh syarikat induknya, Khazanah Nasional Bhd.

Pengkritik mengatakan Khazanah, yang menswastakan syarikat penerbangan itu pada 2014 dengan pelan pemulihan bernilai RM6 bilion, membuat kesilapan dengan membawa masuk orang asing untuk mengetuai syarikat penerbangan tersebut.

Selepas ia diswastakan, Malaysia Airlines diketuai oleh German Christoph Mueller, yang melakukan pemberhentian besar-besaran melibatkan kira-kira 6,000 pekerja sebelum peletakan jawatannya secara mengejutkan kurang setahun selepas pelantikannya.

Beliau digantikan oleh Irish Peter Bellew, yang meletak jawatan untuk menyertai semula majikannya, Ryanair.

Berikutan kerugian berterusannya berbilion ringgit, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan mempunyai 3 pilihan untuk Malaysia Airlines: menutupnya, menjualnya atau membiayai semula hutangnya.