Video seks sejenis ‘Sandakan’ terjah laman porno

PETALING JAYA: Beberapa video seks sejenis yang mencetuskan siasatan polis ke atas penglibatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menerjah di laman pornografi dan YouTube.

FMT dimaklumkan sekurang-kurangnya 3 video berkenaan dimuatnaik di pornhub.com dengan tajuk “Azmin Ali”.

Video-video itu diletakkan dalam pelbagai kategori, termasuk amatur dan fetis.

Walaupun disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pornhub antara laman yang paling dikunjungi di negara ini, menurut Google Analytics.

Sekatan SKMM boleh dipintas, termasuk dengan menggunakan DNS awam Google menggantikan DNS yang disediakan penyedia perkhidmatan internet tempatan.

Video-video itu juga dimuatnaik di satu laman porno seks sejenis.

Salah satu video itu, yang selama 9 minit, dipercayai cantuman 3 video yang tular di media sosial dan WhatsApp selepas cuti Hari Raya baru-baru ini.

Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara apabila mendakwa Azmin pasangannya dalam satu video seks sejenis.

Haziq mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei. Dia juga mendakwa ia bukan kali pertama, dan mencabar Azmin mengambil tindakan undang-undang.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu, mengatakan ia komplot oleh musuh-musuhnya dalam PKR untuk membunuh kerjaya politiknya.

Beliau mendapat sokongan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mencadangkan video-video itu mungkin rekaan.

Salah satu video itu turut dimuatnaik di YouTube. Ia dijangka akan diturunkan kerana laman video popular itu menapis video-video yang dikongsi menerusi platformnya.