VK Liew: Ahli Parlimen tak minta waktu pertanyaan PM secara bertulis

PETALING JAYA: Menteri undang-undang Liew Vui Keong, yang dikritik Bersih 2.0 kerana mengatakan tiada keperluan untuk mengadakan waktu pertanyaan perdana menteri di Parlimen, menjelaskan tidak ada permintaan bertulis meminta perkara itu.

Oleh itu, kerajaan tidak dapat mempertimbangkannya, dan menambah ahli Parlimen perlu membentangkan usul mengenai perkara itu dan memastikan ia diluluskan terlebih dahulu.

“Ahli Parlimen mungkin mahu masa diperuntukkan untuk bertanyakan soalan-soalan spesifik terus kepada perdana menteri,” katanya kepada FMT.

“Tetapi modus operandi yang mereka inginkan itu tidak dikemukakan kepada saya secara bertulis. Jadi saya hanya boleh mengagak apa yang mereka mahukan.”

Liew mengambil maklum kebimbangan Bersih mengenai tiada jaminan atau konvensi bagi memaksa perdana menteri menjawab pertanyaan semasa waktu pertanyaan menteri dan waktu pertanyaan biasa.

“Sudah tentu, bagus sekali kalau perdana menteri perlu menjawab soalan-soalan spesifik seperti yang diamakan dalam sitem Westminster di England.

“Tetapi ia perlu diusulkan oleh ahli-ahli Parlimen,” katany.

Liew berkata dia menghormati janji Pakatan Harapan yang mahu 30 minit diperuntukkan untuk waktu pertanyaan perdana menteri setiap minggu Dewan Rakyat bersidang, tetapi ia belum boleh dilaksanakan secara praktikal pada ketika ini.

“Speaker Dewan Rakyat dan saya faham bahawa tidak mungkin untuk kita adakan waktu pertanyaan perdana menteri pada sesi Julai, yang bermula 1 Julai,” katanya.

Meskipun begitu, waktu pertanyaan perdana menteri boleh menjadi kenyataan jika permohonan rasmi dibuat dan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri di masa akan datang.

Sebagai contoh, beliau boleh bawa permintaan bertulis ke jemaah menteri esok meminta 1 hari untuk kementerian-kementerian dan menteri-menteri berada di Parlimen dan menjawab soalan.

“Jadi saya harapn speaker bawa permintaan itu ke jemaah menteri untuk dipertimbangkan kerana pada ketika ini tiada yang bertulis dan hanya cakap-cakap sahaja,” katanya.

Liew berkata Peraturan Mesyuarat perlu dipinda untuk menjadikan ia kenyataan.