YDP Agong harap jaringan Herold Goulon dicalonkan ke Anugerah Puskas

Sejak kelmarin, skuad Tok Gajah secara tiba-tiba menjadi sebutan oleh peminat bola sepak tempatan gara-gara kerana jaringan sensasi pemain import mereka, Herold Goulon yang tular sehingga mendapat liputan daripada media luar negara.

Ia adalah detik masa kecederaan sebelum tamat perlawanan di mana Goulon telah menghayunkan kakinya untuk menendang bola dengan tinggi sehingga menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim dalam aksi separuh akhir Piala FA.

Mungkin ini adalah jaringan tercantik dan paling istimewa pernah dilakukan Goulon dalam karier bola sepaknya dari jarak 60 meter melalui sepakan percuma.

Jaringan tersebut turut mendapat perhatian daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan jaringan itu layak dihantar untuk pencalonan Anugerah Puskas 2019 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kata-kata baginda itu diceritakan sendiri oleh jurugambar rasmi istana, Abdul Rahim Othman, ketika mengiringi Sultan Abdullah berjalan menuju ke pesawat peribadi di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kelmarin.

“Ketika koi (saya) berjalan mengiring Yang di-Pertuan Agong menuju pesawat, baginda sempat titah tanya koi, ‘Haji Rahim, kamu tengok bola semalam?.

“Tuanku terus titah gol ketiga (perlawanan) memang cantik sambil mengangkat ibu jari.

“Baginda turut bertitah gol berkenaan layak dicalonkan bagi Anugerah Puskas,” katanya seperti dipetik media.

Abdul Rahim turut meluahkan kekaguman beliau terhadap baginda yang masih mengikuti perkembangan bola sepak tempatan walaupun sibuk dengan tugasannya.

“Tidak sangka Seri Paduka Baginda masih mengikuti perkembangan bola sepak tempatan. Begitulah minatnya baginda terhadap sukan bola sepak.

“Walaupun Tuanku sentiasa sibuk selaku ketua negara sejak menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, namun baginda dan bola sepak tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Pahang menewaskan Perak 3-1 dan menyaksikan Tok Gajah meraih bekalan dua gol untuk aksi separuh akhir kedua di Ipoh minggu depan.

Sumber semuanyabola.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]