Ahli akademik dakwa Semenanjung masih penghalang perpaduan negara

Prof Jayum A Jawan berkata masalah kaum dan agama semua datang dari Semenanjung.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik dari Sarawak mendakwa Semenanjung masih menjadi penghalang mencapai perpaduan di Malaysia.

Jayum A Jawan, yang kini berkhidmat di Jabatan Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, masalah etnik dan agama sekarang ini bermula dari Semenanjung dan ia “diimport ke Sarawak”.

Beliau berkata rakyat Sarawak tiada masalah dengan mana-mana agama, sama ada Islam, Kristian atau Buddha.

“Ramai keluarga pribumi Sarawak berkahwin campur. Mereka meraikan Raya dan Krismas. Mereka duduk bersama; ada yang makan babi.

“Mereka yang tak makan babi tidak menyentuhnya.”

Beliau bercakap di forum “Adakah kita lebih bersatu sebagai sebuah negara selepas PRU-14” anjuran Taylor’s College.

Beliau berkata gerai-gerai menjual daging babi, makanan India dan nasi lemak adalah norma.

Namun beliau memberi amaran Sarawak berdepan masalah kerana ia mengimport isu-isu kaum dari Semenanjung, dan menambah “jika kamu mahu bawa masalah kamu ke sini maka kamu tidak dialu-alukan”.

Beliau berkata terdapat juga pengagihan kerja yang adil antara Melanau, Bidayuh, Melayu, Iban dan Cina.

Bagaimanapun, pengagihan kerja dalam perkhidmatan awam di Semenanjung tidak seperti itu.

Contohnya, para pengarah di Kementerian Pendidikan, yang membincangkan dasar-dasar dan mengangkatnya kepada menteri, kebanyakannya terdiri daripada satu kaum.

Beliau berkata terdapat kira-kira 30 pengarah.

“Berapa ramai orang India? Hanya seorang. Itu 3 tahun dulu semasa saya buat profil. Tetapi dalam 2 tahun yang lalu, tiada ada seorang pun. Cina? Sifar,” katanya.

Beliau berkata dia menjadikan Kementerian Pendidikan sebagai contoh, tetapi senario hampir sama berlaku di kementerian-kementerian lain.

Jayum menyoal bagaimana para pengarah berkenaan boleh faham keperluan dan aspirasi orang Iban atau India.

Beliau berkata orang dalam kerajaan mesti memahami keperluan rakyat dan bukannya hanya satu komuniti.