Anak Musa kekal di Sipitang, mahkamah batal petisyen PRU

Yamani Hafez Musa (3 dari kanan) bersama pasukan peguamnya di kompleks mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan rayuan mencabar kemenangan Yamani Hafez Musa – anak bekas ketua menteri Musa Aman – di Parlimen Sipitang pada pilihan raya umum tahun lepas.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel 5 anggota, membuang rayuan itu dengan RM40,000 sebagai kos kepada Yamani.

Peguam Yamani, Mohd Azhier Farhan Arisin berkata, mahkamah tidak yakin dengan rayuan pempetisyen, Noor Hayaty Mustapha dari Warisan bahawa Mahkamah Pilihan Raya terkhilaf semasa membuat keputusan.

Panel menganugerahkan kos RM30,000 kepada responden kedua dan ketiga, iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Matlin Dullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Seorang lagi peguam Yamani, Tengku Fuad Ahmad berkata, mahkamah merasakan Noor Hayaty tidak bersedia untuk perbicaraan.

“Pempetisyen beberapa kali diarahkan untuk bersedia untuk perbicaraan tetapi tidak dihiraukan,” katanya.

Ditemui di luar mahkamah, Yamani berasa lega episod ini sudah berakhir.

“Perbicaraan ini sangat panjang sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Kita ada pasukan yang hebat dan barisan peguam yang bagus. Saya sangat gembira dengan keputusan ini,” katanya.

Peguam lain yang mewakili Yamani adalah Jeyan Marimuttu, Tengku Fuad Ahmad, Rizwandean M Borhan dan Reduan Akiee.

Chung Jin Dau mewakili Nor Hayaty.

Mahkamah Pilihan Raya pada 8 April membatalkan petisyen untuk Parlimen Sipitang, atas sebab salah guna proses kerana pempetisyen tidak bersedia dengan dokumen-dokumen berkenaan, termasuk keterangan saksi.

Yamani memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional, tetapi kemudian menyertai PPBM.

Walaupun dia dimaklumkan permohonannya sudah diterima, beliau baru-baru ini berkata dia tidak yakin dengan kedudukannya kerana dia masih ditempatkan bersama wakil rakyat bebas.