Emper AS$51 juta di New York dikaitkan 1MDB akan dijual

Walker Tower di Manhattan, New York.

NEW YORK: Sebuah emper bernilai AS$51 juta di Walker Tower, Manhattan yang didakwa dibeli dengan wang diseleweng daripada 1MDB akan dijual.

Pendakwa raya Amerika Syarikat dan peguam mewakili pemegang amanah yang memiliki hartanah itu pada Selasa meminta seorang hakim persekutuan di Los Angeles yang menyelia satu saman pelucuthakan sivil untuk membenarkan mereka meneruskan penjualan itu.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mendakwa emper itu dibeli pada 2014 oleh Khadem Abdulla al Qubaisi, bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Co yang dimiliki kerajaan Abu Dhabi.

Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Al Qubaisi baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun di Abu Dhabi dan dia bersama seorang rakan subahatnya turut diperintahkan membayar AS$336 juta.

Menurut DoJ, Al Qubaisi yang juga bekas pengerusi restoran dan kelab malam Kumpulan Hakkasan menerima AS$473 juta yang dicuri daripada 1MDB pada 2012.

Dia dibantu Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, ahli perniagaan didakwa dalang dalam skim penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB.

Selain emper di Manhattan itu, al Qubaisi turut dikatakan membeli sebuah rumah agam di Beverly Hills, California yang bernilai AS$31 juta dengan wang 1MDB.