‘Frozen Food’ bantu anak ke Sekolah Berasrama Penuh Sains

Nor Azizah Wagimin, 45 menggunakan kudrat yang ada untuk mencari nafkah membeli ubat suami dan pendidikan anak di sekolah berasrama penuh.

Memiliki seorang permata hati dan membesarkannya dalam serba kekurangan bukan satu perkara yang mudah.

Ia memerlukan jiwa dan semangat kental daripada ibu bapa itu sendiri serta kudrat untuk mencari nafkah secukupnya bagi menyara keluarga.

Bagi Nor Azizah Wagimin, 45 yang kini menetap di rumah pemberian Lembaga Zakat Selangor, beliau hanya mengharapkan penjualan kuih sejuk beku bagi menampung perbelanjaan anaknya yang kini menuntut di Sekolah Berasrama Penuh Sains Banting.

Pada masa yang sama, duit penjualan itu juga digunakan bagi menampung kos perubatan suaminya yang kini sakit buah pinggang, hempedu dan gout sehingga menyebabkan dia susah untuk bernafas dan tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan.

Mesin pengisar yang digunakan untuk mengadun kuih yang perlu dihasilkan sebanyak 600 biji kuih setiap hari.

Meskipun Azizah sendiri sakit kerana mempunyai masalah saraf, namun dia tetap berusaha bagi menyara keluarganya.

“Kalau saya tak buat, macam mana nak beli itu dan ini untuk keluarga dan anak saya, suami tak boleh bergerak, anak pula bersekolah, semuanya perlukan wang untuk perbelanjaan.

“Penat dan sakit macam manapun saya akan tetap juga buat kuih untuk memenuhi permintaan pelanggan dan pastinya untuk anak kesayangan yang saya ada, seorang ini sahaja,” katanya ketika ditemubual FMT.

Meskipun mempunyai masalah urat saraf, namum beliau perlu berupaya mencari nafkah bagi menampung suami dan anaknya.

Bagi menampung perbelanjaan, Azizah akan membuat 600 biji kuih sejuk beku sehari untuk dijual kepada pelanggan.

3 paket dijual hanya RM10 dan setiap paket mengandungi 10 biji kuih.

Antara kuih yang dibuat karipap kentang, karipap sardin, cucur badak, puteri ayu, ubi getuk, masalodeh, kasturi dan donut.

“Pelanggan ramai yang nak kuih, yang buat hanya saya seorang, saya pun bukan sihat mana, hanya boleh buat setakat yang ada, janji anak saya cukup kelengkapan untuk belajar, suami saya sihat, saya dah lega walaupun saya tak dapat apa,” katanya lagi.

Menetap di sebuah rumah yang diberi Lembaga Zakat Selangor, Azizah kini lebih selesa jika dibandingkan sebelum ini yang terpaksa menumpang keluarga mertuanya.

Satu-satunya anak yang dimiliki, Nur Azam Izwani Abnizam kini berusia 16 tahun merupakan seorang pelajar cemerlang, mendapat 5A dalam Ujian Pendidikan Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A untuk Pendidikan Menengah Rendah (PMR).

Nur Azam Izwani juga mendapat biasiswa Tunas Geliga yang sedikit sebanyak dapat menampung yuran tahunan sekolah dan pendidikannya.

“Saya selalu berpesan suruh Wani berjimat, ada sampai 1 ketika, dia teringin untuk membeli sebuah laptop, tetapi saya memang tidak mampu.

“Jadi dia sendiri berniaga dalam asramanya menjual maggie dan hasil daripada itu, dia kumpul beberapa tahun dan dapat membeli laptop. Dia beli guna duit yang dia cari sendiri, saya menangis kerana merasakan tidak mampu menyediakan kelengkapannya dengan baik,” katanya.

Rumah yang dibina Lembaga Zakat pada 2014, kini Zakiah tinggal bersama suaminya sahaja memandangkan anaknya kini menetap di asrama penuh.

Tambah Azizah, kadang kala duit lebihan hasil penjualannya digunakan untuk mencari ubat bagi merawat suaminya sendiri.

“Saya bersyukur dapat anak yang memahami, dia bantu saya, cuma bila tiap minggu saya datang berjumpa dengan Wani di asrama, kadang kala dia menangis kerana ayahnya tidak datang berjumpa dengannya.

“Tetapi saya selalu pujuk dan berpesan pada Wani, jangan menangis sebab ayah tak mampu datang sebab sakit, tapi dia sokong pelajaran Wani dari jauh,” ujarnya.

Tambah Azizah beliau sentiasa berpandangan jika dia susah, pasti ada lagi yang lebih susah, jadi tidak seharusnya mengeluh dengan keadaan seperti itu.

Azizah menunjukkan gambar anaknya yang telah menerima anugerah pelajar cemerlang bagi PMR tahun lalu.

Sebaliknya dia bersyukur mempunyai anak yang baik dan pintar seperti Nur Azam Izwani.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]