Ibu bapa pelajar, guru terlibat kes rotan bertemu esok

ISKANDAR PUTERI: Kes guru merotan seorang pelajar pada Isnin hampir menemui jalan penyelesaian apabila pelajar dan ibu bapanya serta guru yang terlibat mencapai persefahaman untuk duduk semeja dan berbincang mengenai isu itu.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata pertemuan itu akan diadakan di sekolah esok dan akan melibatkan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Ia bagi mencari jalan penyelesaian “menang-menang” antara kedua pihak tanpa melibatkan undang-undang.

Selain itu, ia bagi mengelak timbulnya suasana tidak harmoni dalam kalangan ibu bapa dan guru, katanya.

“Kita memang tahu guru ada peranan untuk mendidik, cuma mungkin cara tindakan yang diambil itu mungkin terlebih…saya pun belum ada, tidak tengok bukti lagi di hadapan saya. Cuma ada laporan.

“Keduanya, pelajar itu mungkin terlepas kata-kata yang menyebabkan guru tidak berpuas hati sehingga menyebabkannya mengambil tindakan sedemikian.

“Jadi bagi saya, untuk mengatasinya, kita sebagai orang dewasa iaitu ibu ayah serta juga sebagai guru kena bertindak lebih professional, lebih bijak untuk masa depan, bukan sahaja untuk anak-anak kita tetapi juga untuk masa depan masyarakat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas isu seorang guru merotan pelajar perempuan hingga menyebabkan bahagian lengan dan paha pelajar berkenaan terbirat.

Dalam masa sama, Aminolhuda berharap guru-guru akan lebih bersabar dan memahami situasi pelajar sebelum mengambil apa-apa tindakan, dan tindakan itu pula haruslah berdasarkan peraturan.

Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan agar sentiasa mengambil perhatian terhadap permasalahan anak-anak mereka.

“Guru membimbing dalam bentuk pendidikan manakala ibu dan ayah membimbing di rumah dalam bentuk moral dan tatasusila kita sebagai masyarakat Timur. Ini penting untuk kita sama-sama memajukan anak sebab guru akan terus mengajar mereka.”

Sementara itu, Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh ibu pelajar yang mendakwa dirotan oleh gurunya masih diteruskan.

“Kita siasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Walau bagaimanapun, ibu kepada pelajar tersebut mengambil keputusan untuk menarik balik laporan, mungkin dia ada perbincangan,” kata beliau pada sidang media berasingan.