Maszlee gesa ketepi emosi, sentimen dalam isu guru rotan pelajar

Pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah Johor Bahru menunjukkan kesan birat di lengan dan kakinya selepas dirotan seorang guru lelaki yang digelarnya ‘ah kua’.

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menggesa semua pihak mengetepikan emosi dan sentimen dalam kejadian seorang guru merotan pelajar yang menggelarnya “ah kua” atau pondan.

Katanya, beliau memahami kebimbangan guru dan masyarakat berhubung kejadian itu yang perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia membabitkan adab seorang pelajar terhadap gurunya dan reaksi guru terhadap situasi luar jangka.

“Seperti saya tekankan semalam, kes ini akan dikendalikan secara adil mengikut semua peraturan yang ada dan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum.

“Keadilan ini sangat penting kerana kita semua bukan saja perlu bertindak adil kepada pihak murid, tetapi juga kepada pihak guru berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Pendidikan Johor dilaporkan sedang menyiasat kejadian itu selepas satu rakaman video selama 2 minit 28 saat menunjukkan seorang wanita mempersoalkan seorang guru lelaki di sebuah sekolah menengah Johor Bahru didakwa merotan anak perempuannya sehingga lengan dan pahanya berbirat.

Guru itu dilaporkan berkata, pelajar terbabit hanya meminta maaf selepas dirotan dan dinasihatkan rakannya.

Hari ini, Maszlee berkata, kebajikan guru sentiasa dalam perhatiannya dan kerajaan komited memastikan guru mendapat sokongan penuh untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan menambah baik sokongan mental dan emosi guru agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.”

Beliau turut meminta ibu bapa bekerjasama dengan guru untuk mendidik anak mereka untuk berbudi pekerti dan bersopan santun.

“Guru yang mendidik di sekolah juga haruslah menanam nilai murni ketika mengajar anak-anak dan sentiasa patuh kepada undang-undang.

“Saya yakin masyarakat yang kita ada hari ini adalah masyarakat yang penuh toleransi dan menyanjung tinggi martabat guru. Apa juga pandangan yang bersifat ekstrem haruslah ditolak.”