NGO pula persoalkan barisan pasukan petugas siasat kehilangan

Raymond Koh dan activist Amri Che Mat.

PETALING JAYA: Kumpulan Tindakan Rakyat Mengenai Kehilangan Paksa (CAGED) turut mempersoalkan barisan pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan 2 individu, tidak lama selepas isteri salah seorang orang yang hilang mempersoalkan pemilihan anggotanya.

CAGED dalam kenyataan berkata bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda, yang akan mengetuai pasukan itu, pada 2011 mengekalkan keputusan terbuka dalam kematian Teoh Beng Hock.

CAGED berkata perkara itu relevan kerana keputusan Rahim diterbalikkan oleh panel 3 anggota Mahkamah Rayuan pada September 2014.

“Ia juga relevan kerana panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bergantung pada keputusan Mahkamah Rayuan apabila menentukan tahap pembuktian yang membawa kepada kesimpulan bahawa ‘ia dilakukan Cawangan Khas, Bukit Aman’,” katanya.

Teoh, pegawai kepada seorang Adun Selangor, ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam, beberapa jam selepas disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

NGO itu juga melabel pelantikan ketua jabatan integriti polis, Zamri Yahya sebagai “keterlaluan”, mengatakan pasukan petugas perlu menyiasat jabatan itu.

Ia turut membidas pelantikan bekas ketua jabatan undang-undang polis, Mokhtar Mohd Noor sebagai “meragukan”, kerana dia tampil mewakili polis dalam inkuiri Suhakam.

“Malah, dia yang membuat hujah penutup bagi pihak polis!”

CAGED juga mempersoalkan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin kerana mengatakan Pastor Raymond Koh – salah seorang dari 2 yang hilang – berada di luar skop pasukan itu kerana siasatan ke atas kes itu ketika seseorang sudah didakwa atas kehilangan Koh akan menjadi subjudis dan menghina mahkamah.

NGO itu berkata hujah itu tidak masuk akal kerana inkuiri Suhakam sudah menentukan bahawa individu berkenaan, Lam Chang Nam, didakwa atas kesalahan berbeza, iaitu pemerasan dan bukannya penculikan.

CAGED mengingatkan ia akan menjadi subjudis jika sebarang keterangan yang boleh mempengaruhi saksi atau hakim diterbitkan.

Tetapi dalam hal ini, keputusan Suhakam sudah diterbitkan, katanya.

Terdahulu, Putrajaya mengumumkan penubuhan pasukan petugas untuk menyusuli dapatan Suhakam bahawa Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan Koh dan aktivis, Amri Che Mat.