PBB: Lebih 1/2 juta pelarian Sudan kembali ke tanah air

Sudan Selatan dicengkam konflik perang saudara pada akhir 2013, mencetuskan krisis pelarian paling buruk di dunia. (Gambar Facebook)

NEW YORK: Sejak perjanjian damai ditandatangani September lalu, lebih 1/2 juta penduduk Sudan Selatan yang tersingkir mengambil keputusan untuk kembali ke rumah masing-masing, lapor agensi berita Xinhua.

Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) David Shearer memberitahu Majlis Keselamatan, berikutan krisis politik semakin pulih penduduk yang selama ini terpaksa melarikan diri memutuskan kini adalah masa sesuai untuk pulang.

Memetik Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi, beliau berkata lebih 1/2 juta orang pulang ke rumah masing-masing termasuk lebih 210,000 yang selama ini mencari perlindungan di negara jiran.

Walaupun terdapat peningkatan, jumlah itu masih rendah berbanding 2.3 juta pelarian dan 1.9 juta yang menjadi pelarian di dalam negara sendiri, katanya.

Tambahnya, sebelum perjanjian damai dimeterai dianggarkan kira-kira 18,000 orang pulang ke rumah setiap bulan dan jumlah itu meningkat 76,000 orang.

Sudan Selatan dicengkam konflik perang saudara pada akhir 2013, mencetuskan krisis pelarian paling buruk di dunia.

Perjanjian damai yang ditandatangani pada Ogos 2015 itu, sebelum ini menemui kegagalan ekoran kekacauan yang terus memuncak. Perjanjian itu diadakan semula di ibu kota Juba pada Julai 2016.

Pada 12 Sept 2018 perjanjian mengenai Penyelesaian Konflik di Republik Sudan Selatan ditandatangani di Addis Ababa, Ethiopia.