Punca gangguan kesihatan di Pasir Gudang masih belum dipastikan, kata Yeo

Yeo Bee Yin.

JOHOR BAHRU: Punca sebenar insiden gangguan kesihatan sehingga melibatkan ramai pelajar sesak nafas dan muntah-muntah di Pasir Gudang, sejak Khamis lepas, masih belum dapat dipastikan sehingga kini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, hasil keputusan ujian makmal mendapati sampel dari 8 pesakit yang diambil untuk ujian cyanide, blood cyanide dan kompaun organik tidak stabil (VOC) adalah negatif.

“Jabatan kimia secara berterusan mencari apa bahan kimia dalam urin serta sampel darah pesakit.

“Kita tidak dapat dalam sampel urin dan juga darah untuk memastikan apakah sumber bahan kimia. Ini sangat berbeza dengan kes Kim Kim. Kita ada bukti fisiologikal kimia, urin dan darah tentang kandungannya (bahan kimia),” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar serta Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

Yeo berkata, bagi memastikan keselamatan penduduk dan menangani isu gangguan kesihatan seumpama itu, sebuah stesen pemantauan bahan-bahan cemar udara secara tetap akan diwujudkan di Pasir Gudang, namun, reka bentuknya akan diteliti.

Beliau berkata, Sistem Ramalan Penyebaran Kimia juga akan diwujudkan bagi menjadi rujukan piawaian bagi setiap bahan cemar yang terdapat di Pasir Gudang dalam keadaan bacaan normal.

“Saya juga sudah berbincang dengan Tan untuk mewujudkan zon penampan di antara kawasan industri, perumahan, sekolah dan kawasan komuniti harian.

“Kita sudah ada rancangan mengenainya dan akan membentangkannya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Khuzzan berkata sehingga 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baru dimasukkan ke dalam wad, menjadikan keseluruhan mangsa masih berada di wad adalah 6 orang.

Beliau berkata keputusan sama ada sekolah boleh dibuka semula Ahad ini bergantung kepada kualiti udara yang sedang dipantau.