SPRM akan serah laporan sistem visa kepada KDN

Latheefa Koya dan pegawai kanan SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini untuk memerhatikan prosiding pendakwaan ke atas Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan menyerahkan satu laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai penyeliaan Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang disifatkan mempunyai “kelompangan”.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata pegawainya akan menyerahkan laporan itu secepat mungkin.

“Kami akan menghantar satu laporan mengenai kelompangan dalam sistem itu supaya mereka boleh ambil tindakan lanjut,” katanya selepas menghadiri kes rasuah ke atas bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan akan membenarkan syarikat mengendalikan VLN itu terus beroperasi sehingga syarikat pengganti ditemui.

Ultra Kirana Sdn Bhd terbabit dalam 7 pertuduhan rasuah baru yang dikenakan ke atas Zahid, menteri dalam negeri ketika itu.

Zahid didakwa menerima S$4.24 juta daripada Ultra Kirana antara Mac 2017 hingga Mac 2018 untuk melanjutkan kontraknya dalam pengendalian VLN dan perkhidmatan pusat sehenti di China.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata beliau dan pegawai kanannya datang ke mahkamah untuk memerhatikan prosiding itu.

“Ini bukan kes rasuah biasa kerana ia membabitkan seorang pegawai berpangkat tinggi ketika kesalahan itu didakwa berlaku dan jumlah yang terbabit adalah tinggi.”

Beliau berkata, 33 lagi dakwaan akan dikenakan terhadap Zahid di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung transaksi sama.

Katanya, jumlah keseluruhan dalam kedua-dua kes itu melebihi RM47 juta.