YDP Agong bantu mangsa kemalangan jalan raya

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencemar duli turun dari kenderaan rasmi untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya di Putrajaya.

Keprihatinan Tuanku itu dimuat naik dalam laman sosial Instagram Istana Negara sendiri dan mendapat hampir 5,000 “like” dan 200 komen dari netizen.

Difahamkan, Seri Paduka Baginda Tuanku dalam perjalanan ke Mesyuarat Pra Kabinet bersama Perdana Menteri di Istana Melawati, Putrajaya.

Mangsa kemalangan yang juga dikenali sebagai Jasliza Jamil bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang serius.

Selepas selesai membantu mangsa, baginda terus menyambung perjalanan ke Mesyuarat Pra Kabinet.

Dalam komen menerusi Instagram, ramai yang memuji baginda dengan menyatakan “Sultan berjiwa rakyat”.

Sebelum ini, tular di media Baginda beratur membeli makanan di sebuah restoran makanan segera, dan hari ini Baginda sekali lagi menarik perhatian rakyat Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]