Bekas ketua hakim Salleh Abas wakili Kelantan dalam saman hak Orang Asli

Bekas ketua hakim negara, Salleh Abas. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas ketua hakim negara, Salleh Abas dijangka mewakili kerajaan Kelantan pimpinan PAS dalam satu saman difailkan oleh Putrajaya berhubung pencerobohan terhadap petempatan Orang Asli di Gua Musang, kata sumber.

Sumber memberitahu FMT, Salleh, 89, akan muncul bersama-sama peguam Khoo Guan Huat apabila beberapa permohonan dijadual didengar di hadapan hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Mahkamah Tinggi Kota Baru pada 21 Julai depan.

Peguam David Ragumaren, yang mewakili Putrajaya, mengesahkan Salleh hadir di hadapan Wan Ahmad semasa pengurusan kes pada 8 Mei.

Salleh dipecat dari jawatan beliau berikutan penubuhan satu tribunal semasa krisis badan kehakiman pada 1988.

Beliau bertanding pada pilihan raya umum 1995 bagi Parlimen Pantai di bawah tiket Parti Melayu Semangat 46, yang kini dibubar, tetapi gagal memenangi kerusi tu.

Pada pilihan raya umum 1999, Salleh memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Jertih dan dilantik sebagai anggota Exco apabila PAS berjaya membentuk kerajaan Terengganu setelah menguasai negeri berkenaan.

Sejak 2004, Salleh menjadi peguam dan kerap muncul di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada awal Januari, Peguam Negara Tommy Thomas berkata, Putrajaya memfailkan saman berkenaan, yang pertama oleh kerajaan persekutuan, bagi melindungi hak tanah adat Orang Asli.

Putrajaya juga memohon injunksi bagi menghentikan syarikat mencerobohi tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial, selain beberapa perisytiharan lain.

Saman tersebut menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah jabatan perhutanan negeri dan 5 entiti persendirian.

Mereka adalah Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd.

Kerajaan Kelantan dan agensiya mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat persendirian untuk memasuki tanah adat orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Kawasan hutan yang luas dikatakan ditebang bagi tujuan peladangan durian dan getah.

Dalam kenyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, ia menafikan hak tanah adat dan sumber Orang Asli Temiar dan menyebabkan berlakunya hakisan yang meluas, pencemaran dan kerosakan kekal ke atas ekologi dan landskap Pos Simpor.

“Kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum mengeluarkan lesen membalak atau menawarkan pampasan bagi kehilangan tanah adat dan sumber,” kata Tommy dalam satu kenyataan sebelum ini.

Ia berkata, walaupun kerajaan Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas urusan tanah, hutan dan perlombongan, ia adalah tertakluk kepada tanggungjawab utama dan kekal bagi melindungi dan memulihara kebajikan Orang Asli Temiar.

Pada 21 Julai, mahkamah akan mendengar permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan saman Putrajaya itu.

Kota Baru beranggapan Putrajaya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan kes tersebut terhadap kerajaan negeri dan Mahkamah Tinggi juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut atas asas perlembagaan.

Perkara lain yang akan didengar ialah:

  • permohonan penangguhan oleh kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian serta pengarah jabatan hutan untuk memfailkan pembelaan mereka sementara menunggu permohonan keputusan pembatalan saman tersebut.
  • permohonan Putrajaya terhadap 5 entiti persendirian bagi menghalang mereka memasuki tanah terbabit sementara menunggu permohonan pembatalan saman, dan
  • permohonan pencelah oleh Penghulu Pos Tohoi kerana haknya akan terkesan sekiranya mahkamah membenarkan perisytiharan yang diminta oleh kerajaan Persekutuan.

Putrajaya juga akan diwakili oleh Gurdial Singh Nijar dan G Ragumaren yang diberikan kebenaran khas oleh Thomas untuk berbuat demikian. Turut serta dalam pasukan itu ialah Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan dan Peguam Persekutuan Saffiyah Omar.