Jurang perpecahan melebar kerana setiap kaum dulukan diri sendiri, kata PSM

Dr Michael Jeyakumar berkata, rakyat Malaysia perlu mengetepikan cara berfikir yang hanya mengutamakan kaum sendiri.

PETALING JAYA: Dr Michael Jeyakumar dari PSM menyuarakan kebimbangan mengenai pelebaran jurang dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan pilihan raya umum ke-14 (PRU 14), dengan berkata, setiap kaum hanya mendahulukan dirinya sendiri.

Jeyakumar yang merupakan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu berkata, kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Umno adalah punca pergeseran itu.

Katanya, Umno meningkatkan propagandanya bahawa PH didominasi DAP, sementara salah langkah PH memotong bantuan kewangan kepada golongan miskin pula tidak membantu.

“Kita lebih berpecah menurut garis kaum selepas PRU 14. Semasa berlakunya perubahan kerajaan, orang Melayu jelas kurang senang terhadap PH.

“Rasa tidak senang ini semakin buruk selepas PRU 9 Mei itu,” katanya pada satu forum bertajuk “Apakah kita lebih bersatu sebagai sebuah negara selepas PRU 14?”, anjuran Universiti Taylor di sini, semalam.

Bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata, perpecahan itu boleh dilihat semasa pilihan raya kecil Cameron Highlands dan Semenyih yang menyaksikan kebanyakan undi orang Melayu memihak kepada Umno-PAS.

Dalam kumpulan WhatsApp yang disertainya, Jeyakumar berkata, beliau dapat melihat peningkatan kritikan anti PH dalam kalangan anggota Melayunya berbanding sebelum PRU 14.

Beliau berkata, orang Melayu percaya bahawa orang Cina dan India cuba mencabar watak Malaya yang dipersetujui pada 1957 yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam agama rasmi negara.

“Orang Melayu berasa terancam. Penghapusan kuota dalam pendidikan dan pelaksanaan satu sistem berdasarkan merit semata-mata dilihat berlawanan dengan kepentingan masyarakat Melayu,” kata Jeyakumar.

Katanya, beberapa inisiatif PH juga tidak membantu mengatasi naratif itu. Memotong skim bantuan kewangan kepada pekebun kecil getah dan nelayan hanya meningkatkan lagi kebimbangan itu.

Jeyakumar berkata, rakaman video Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bercakap dalam bahasa Tamil bahawa raja India, Raja-Raja Solan mendirikan kerajaan di Kedah lama sebelum kesultanan Melaka serta orang India harus dianggap sebagai pribumi semakin menjengkelkan dan menakutkan orang Melayu.

Kata beliau, bagi orang bukan Melayu pula, mereka sangat fokus pada isu mereka sendiri dan “seolah-olah buta kepada nasib orang Melayu B40”, yang merupakan kelompok berpendapatan rendah.

Katanya pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Persendirian Cina (UEC), kuota matrikulasi dan universiti awam, selain isu berkaitan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum) dan dakwaan tentang birokrasi yang terlalu besar lebih diutamakan, berbanding kemiskinan yang wujud dalam kalangan orang Melayu.

Jeyakumar berkata, sebuah negara yang bersatu hanya boleh dibangunkan daripada perasan setiakawan dalam kalangan semua kumpulan etnik.

“Ia tidak boleh wujud sekiranya kita hanya melihat isu kita sendiri dan bersuara lantang tentangnya,” kata beliau.

Katanya, rakyat harus mempunyai kawan daripada kaum lain, memahami budaya dan isu mereka serta berdialog bagi memahami satu sama lain.