Kerajaan tak adil punca sukar dapat lesen, dakwa pemandu OKU e-hailing

Kira-kira 30 pemandu OKU e-hailing berkumpul di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri, Loke Siew Fook.

PUTRAJAYA: Pemandu kelainan upaya (OKU) perkhidmatan e-hailing mendakwa Kementerian Pengangkutan mendiskriminasi mereka dalam ujian mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Wakil kumpulan itu, Azahar Mohd Nordin menjangkakan lebih 300 pemandu pekak akan hilang punca pendapatan pada 12 Julai ini kerana gagal mendapat lesen PSV.

Katanya, antara masalah dihadapi mereka ialah pemeriksaan kesihatan apabila kumpulan pertama 60 pemandu diminta mendapatkan alat bantuan pendengaran, tetapi kerajaan tidak memahami keadaan mereka.

“Alat bantuan pendengaran tidak berguna bagi mereka yang lahir pekak atau 100% tiada deria pendengaran,” katanya selepas mewakili kira-kira 30 pemandu OKU menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook di kementerian itu hari ini.

Putrajaya sebelum ini dilaporkan berkata, ia tidak akan melanjutkan tarikh akhir 12 Julai untuk pemandu e-hailing menjalani kursus memandu PSV yang merupakan syarat bagi pemandu teksi konvensional.

Pemegang lesen PSV yang berharga RM115 setahun dibenarkan memandu semua jenis kenderaan komersial untuk membawa penumpang seperti teksi dan bas.

Azahar mempersoalkan keperluan untuk pemandu pekak menjalani ujian pendengaran memandangkan mereka sudah mempunyai lesen memandu dikeluarkan kerajaan.

“Berhubung pemeriksaan perubatan, dari pemahaman kami, pemeriksaan kesihatan adalah untuk kita melalui pemeriksaan fizikal yang normal dan tidak mengesahkan ketidakupayaan kami.

“Untuk memeriksa keupayaan pendengaran, adakah ia bermakna pekak tidak sihat?” soalnya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan menetapkan pemandu OKU menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital saja.

“Bagaimana pemandu kurang upaya dari negeri lain melakukan pemeriksaan perubatan mereka? Kenapa kita tidak boleh melakukan pemeriksaan perubatan di hospital-hospital lain seperti rakan-rakan kita (yang bukan OKU).”

Azahar mendakwa ramai pemandu e-hailing memandu tanpa sebarang masalah selama ini.

“Kita didiskriminasi ketika kita hanya ingin menjalani hidup yang jujur.

“Sepanjang tahun ini kami amat sabar menunggu untuk pengemaskinian, tetapi kami masih tidak diperlakukan seperti rakan-rakan kami.

“Kami yang cacat pendengaran, tetapi nampaknya pengawal selia (yang) tidak boleh mendengar keluhan kami.”

Beliau juga tidak berpuas hati dengan Kementerian Pengangkutan mewajibkan pemandu OKU menjalani ujian pada 1 Julai ini.

“Kami diberitahu tempoh peperiksaan tidak boleh dirunding dengan pihak tertentu, meskipun kebanyakan kami tinggal di luar bandar dan tidak dapat hadir.

“Mereka juga tidak membenarkan sekolah memandu menjadi tuan rumah peperiksaan. Kami rasa ini adalah tidak adil kerana rakan-rakan lain dapat hadir pada masa lapang mereka sendiri.”

Beliau berharap kerajaan akan mengambil serius dan memperlakukan pemandu e-hailing OKU seperti rakyat lain untuk menyumbang kepada ekonomi negara.