Layanan di hospital kerajaan teruk? Adu hak anda

Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, netizen pastinya akan lebih peka dalam berbelanja termasuklah mendapatkan rawatan dan perubatan di hospital kerajaan berbanding swasta.

Ini kerana di hospital kerajaan rawatan diberikan secara percuma atau bayar pada kadar minimum jika dibandingkan dengan hospital swasta yang sudah pasti mengenakan caj beratus malah ada kala beribu ringgit.

Meskipun sesak dengan orang ramai pelbagai peringkat umur dan terpaksa menunggu lebih lama ditambah pula dengan keadaan yang kurang selesa, namun masyarakat terpaksa akur dengan perkhidmatan yang disediakan.

Bagaimanapun, mereka tidak berhak dilayan dengan kasar kononnya setimpal dengan bayaran murah yang dilakukan.

Secara asasnya pihak hospital yang dikira sebagai penjawat awam seharusnya menunjukkan sikap yang baik sebagai masyarakat yang prihatin dan tidak melepaskan kemarahan kepada pesakit.

Namun perkara ini sering terjadi dan ramai orang tidak tahu bagaimana cara untuk membuat aduan yang sebenar agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh Kementerian Kesihatan.

Kebanyakan daripada mereka hanya menyatakan tidak puas hati menerusi laman sosial Facebook dan ia bukanlah jalan penyelesaian untuk tindakan diambil pihak berwajib.

Jadi ini cara yang betul untuk anda lakukan jika anda berdepan sebarang masalah dimana-mana hospital atau klinik kerajaan di masa depan.

Sila buat aduan di laman web SISPAA iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam di https://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do

Apa yang perlu anda lakukan, buka akaun baru dan bila akaun telah disahkan anda boleh membuat aduan di bahagian yang disediakan.

Ia mengambil masa 14 hari bekerja untuk membalas respon daripada aduan yang telah dilakukan dan selepas itu anda perlu “semak maklum balas” yang disediakan.

Hak rakyat adalah keutamaan, adukan suara anda pada saluran yang betul!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]