Tangan atau kaki patah : Apa akibat jika tidak dibawa ke hospital?

Patah tulang bukan satu perkara yang pelik berlaku namun ia memerlukan rawatan segera supaya tidak ada kesan sampingan yang berlaku.

Patah tangan atau kaki mungkin agak ngeri didengar bagi sesetengah orang.

Namun ia bukanlah perkara pelik untuk berlaku termasuklah kepada kanak-kanak atau dewasa jika tidak berhati-hati.

Puncanya mudah sama ada jatuh dari tempat tinggi, kemalangan jalan raya atau tergelincir.

Namun jika ia hanya melibatkan kecederaan kecil seperti jatuh tangga atau kerusi, kebanyakan ibu bapa akan mengambil enteng akan hal ini dengan memikirkan ia hanya kemalangan kecil dan hanya perlu diurut supaya bengkak itu surut.

Bagaimanapun tindakan tersebut salah kerana anda seharusnya membuat pemeriksaan x-ray terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu tindakan.

X-ray merupakan langkah pertama yang perlu dilakukan bagi memastikan tulang tersebut patah, retak atau terseliuh.

Malah akibat daripada sikap sambil lewa ibu bapa inilah yang akan memberi implikasi besar kepada kanak-kanak itu di masa hadapan sama ada cacat kekal atau tulangnya akan terus bengkok.

Menurut Pegawai Perubatan Otopedik Hospital Ampang, Dr Teng Jia Hao, langkah pertama ialah lakukan pemeriksaan di klinik atau mana-mana hospital sama ada patah, retak ataupun terseliuh.

“Anda perlu periksa terlebih dulu, kalau patah anda perlu simen, kemudian x-ray dan kita tengok lagi tulang anda macam mana sehingga ia bercantum seperti biasa.

“Jika anda tidak membawa pesakit khususnya kanak-kanak yang patah tangan atau kaki ke hospital, tulang akan bercantum dalam keadaan tidak sempurna, dan bahagian tersebut akan bengkok dan cacat,” katanya kepada FMT.

Bagi kanak-kanak ia memerlukan tempoh selama sebulan untuk tulang kembali bersambung dan pulih seperti sedia kala, namun bergantung jenis patah, sama ada kritikal atau tidak.

Malah jelas Teng, kanak-kanak yang patah tulang sama sekali tidak boleh mendekati dengan perokok kerana ia akan melambatkan pertumbuhan tulang dengan baik.

“Ramai yang tidak tahu bahawa nikotin adalah punca utama yang menyebabkan tulang tidak tumbuh dengan baik dan cepat, sebab itu si ayah yang merupakan perokok atau perokok di luar sana harus fikir keadaan sekeliling dan tidak mementingkan diri sendiri,” jelasnya.

Menurut Teng, bagi pesakit yang disahkan patah tangan atau kaki akan mengambil masa sebulan untuk keadaan pulih seperti biasa selepas disemen dimana ia mempunyai beberapa peringkat :

Sebaik sahaja x-ray dilakukan, penelitian akan dibuat pakar ortipedik dan memberi saranan kepada pesakit apa yang perlu dilakukan untuk langkah seterusnya.

1. Selepas 72 jam pertama – Inflammasi dan pembekuan darah

2. Hari ke 2 hingga minggu ke 2 – Pembentukan tulang lembut

3. Dalam masa 2 hingga 6 minggu – Tulang keras terbentuk

4. Dalam 3 hingga 6 bulan – Proses penyambungan (union)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]