8 cara nak bezakan demam campak dan cacar air

Ramai terkeliru antara penyakit demam campak atau juga dikenali sebagai “measles” dan cacar air atau “chicken pox”.

Ia disebabkan kedua-duanya mengeluarkan bintik-bintik merah.

Tapi sebenarnya kedua-dua ini adalah penyakit yang berbeza.

Salah satunya amat merbahaya dan satu lagi boleh dianggap biasa.

Jadi, penting untuk ibu ayah tahu perbezaannya supaya lebih “alert” dan bertindak menangani penyakit ini dengan lebih berkesan.

1. Punca

Penyakit demam campak pada kanak-kanak disebabkan oleh virus measles dan ia seringkali disertai dengan jangkitan pernafasan dan ruam pada kulit.

Penyakit cacar air pula disebabkan oleh virus varicella iaitu virus sama yang menyebabkan kayap.

2. Cara jangkitan

Kedua-duanya mudah dijangkiti melalui udara daripada pesakit melalui cecair iaitu batuk, dan bersin.

Cacar air juga mudah berjangkit daripada cecair lepuh melalui sentuhan atau pernafasan manakala demam campak tidak berjangkit melalui kulit kerana bintik demam campak tidak berair.

3. Risiko waktu jangkitan

Kedua-duanya mempunyai risiko jangkitan pada waktu yang berbeza.

Risiko demam campak berjangkit adalah seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari selepasnya.

Cacar air pula boleh berjangkit 1 hingga 2 hari sebelum ruam timbul sehingga ruam kering.

Elakkan anak-anak untuk keluar rumah pada tempoh tersebut sebagai langkah pencegahan daripada merebaknya penyakit ini.

4. Tanda-tanda

Kedua-dua penyakit ini menunjukkan tanda-tanda awal dengan demam.

Selepas 10 hingga 12 hari dijangkiti, pesakit mula kena demam suhu tinggi, sakit otot, batuk, selsema, sakit tekak.

Mata pesakit juga berair dan sensitif kepada cahaya. Demam suhu tinggi juga akan dialami ketika ruam campak timbul.

Berbeza dengan demam campak, sesetengah orang sahaja yang kena demam dan lesu badan lima hari sebelum ruam muncul.

5. Ruam

Ruam pada kulit ketika sakit merupakan antara ciri-ciri penting yang dapat membezakan penyakit ini.

Ruam kulit apabila terkena demam campak berwarna kemerahan dan sedikit timbul.

Ia juga tidak menghasilkan gelembung air dan tidak gatal.

Ruam akan mula tumbuh pada bahagian muka diikuti dengan kepala, badan tangan dan akhirnya kaki. Ruam ini akan kekal sehingga 4 ke 7 hari.

Ruam pada kulit ketika cacar air timbul seakan bintik merah kecil dan menyebabkan gatal seluruh badan termasuk mulut.

Ruam akan tumbuh bermula dari dada dan bahagian belakang kemudian merebak kepada muka, kepala, lengan dan kaki.

Dalam masa 24 jam ruam akan hasilkan gelembung kemudian pecah dan kering dalam masa 4 ke 5 hari.

Bintik-bintik baru juga boleh muncul dan akan mengambil masa 2 minggu untuk hilang.

6. Rawatan

Setakat ini, tiada rawatan spesifik bagi demam campak, namun doktor menyarankan beberapa panduan untuk mengurangkan gejala.

Antaranya ialah dengan mengambil ubat tahan sakit (paracetamol) untuk mengurangkan demam dan hindari cahaya untuk elak sakit mata.

Ruam pada kulit juga tidak perlu dirawat kerana akan sembuh dengan sendirinya.

Bagi penyakit cacar air pula, doktor akan sarankan ubat sapu dan ubat gatal untuk ruam.

7. Pencegahan

Dengan adanya Program Imunisasi Kebangsaan, demam campak dapat dicegah serta merta namun anak anda masih berisiko jika terdedah dengan kanak-kanak lain yang tidak disuntik atau orang asing.

Suntikan imunisasi MMR (campak, beguk dan rubella) boleh didapati oleh anak pada usia 12 bulan dan ketika 7 tahun.

Cacar air juga punya vaksinnya tersendiri iaitu suntikan vaksin imun “varicella”.

Namun, suntikan ini belum diwartakan oleh kerajaan dan hanya boleh didapati di klinik swasta.

Dapatkan rujukan doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan suntikan untuk anak.

8. Komplikasi

Dalam kes normal, kedua-dua penyakit ini akan sembuh secara sempurna.

Namun, pesakit campak yang kekurangan zat dan mempunyai sistem imun yang lemah boleh menghadapi komplikasi seperti jangkitan telinga, jangkitan paru-paru (pneumonia), jangkitan otak (encaphalitis) dan cirit birit.

Bagi penyakit cacar air pula, jangkitan ini akan menghasilkan imuniti seumur hidup.

Walau begitu, virus ini mungkin bersembunyi dan berulang sebagai kayap dan boleh menyebabkan komplikasi lain seperti jangkitan kuman pada kulit, jangkitan pada darah, radang paru-paru, dan keradangan otak.

Beri lebih perhatian pada faktor kebersihan

Elakkan anak untuk hadir ke sekolah atau pusat jagaan dalam tempoh yang dijelaskan di atas bergantung kepada jenis penyakit yang dialami bagi mengelakkan jangkitan.

Banyakkan minum air, dan amalkan makanan berkhasiat supaya lekas sembuh.

Biasakan anak untuk basuh tangan sebelum dan selepas makan dan selepas bermain dengan kanak-kanak lain.

Ibu bapa patut ambil tahu tentang penyakit ini supaya kesihatan anak dapat diuruskan dengan lebih baik dan anak juga dapat dicegah daripada jangkitan oleh kanak-kanak lain.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]