Kadar tol akan naik tanpa pengambilalihan 4 lebuh raya, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

KUALA LUMPUR: Seorang timbalan menteri hari ini mempertahankan rancangan Putrajaya mengambil alih 4 lebuh raya di Lembah Klang untuk menghalang kenaikan bayaran tol dan kerajaan tidak perlu membayar sebarang kos.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata, kerajaan sudah menunjukkan komitmennya untuk mengurangkan caj dan akhirnya memansuhkan tol, khasnya tol dalam bandar.

Ini susulan pengumuman kerajaan pada 21 Jun lalu yang menawarkan RM6.2 bilion untuk mengambil alih Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Kesas dan Terowong SMART.

Ong berkata, ada pengkritik yang melabelkan rancangan itu sebagai kaedah menyelamatkan syarikat konsesi dikaitkan dengan Gamuda Bhd, tetapi ada perspektif lain seperti penjimatan berbilion ringgit untuk pengguna dan kerajaan.

“Jika tiada pertukaran kerajaan dan cadangan pengambilalihan tol ini tidak dilaksanakan, kadar tol bagi LDP akan naik daripada RM2.10 kepada RM3.10,” katanya sambil menambah beliau sudah mengkaji perjanjian konsesi.

“Anda pada dasarnya membayar tambahan RM1 untuk terperangkap dalam kesesakan trafik,” katanya ketika berucap di sebuah forum anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) bertajuk “The Next Four Years: What Now for Malaysia?” di sini.

Ong berkata, kadar tol bagi Lebuhraya SPRINT (Damansara Link) juga akan naik daripada RM2 kepada RM2.50, manakala kadar tol bagi Kerinchi Link akan naik daripada RM2.50 kepada RM3.50 serta Penchala Link daripada RM3 kepada RM5.

“Jadi, daripada membenarkan kenaikan tol berlaku atau membayar pampasan kepada syarikat tol sebagai ganti kenaikan tol, kerajaan mengambil wang untuk membayar pampasan itu bagi mengambil alih tol dengan janji diskaun tol pada waktu luar puncak tanpa kenaikan kadar tol.”

Beliau berkata, dengan pengambilalihan 4 lebuh raya bertol itu, kerajaan tidak perlu menangguhkan pampasan bagi syarikat konsesi dengan memanjangkan tempoh konsesi.

Katanya, kerajaan terdahulu berbuat demikian kerana tidak mahu membayar pampasan kepada syarikat konsesi, sebaliknya ia memanjangkan tempoh konsesi selama 10 hingga 15 tahun.

“Ini adalah sesuatu yang mungkin berlaku jika tiada perubahan kerajaan.

“Sebaliknya, pengambilalihan tol ini yang dibiayai hasil kutipan tol tanpa membawa kesan kos kepada kerajaan. Ia tidak akan meningkatkan defisit belanjawan kita.”

Ong berkata, pengambilalihan tol akan dibiayai sepenuhnya oleh kutipan tol yang akan disalurkan kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dan pengguna boleh menikmati diskaun bagi waktu luar puncak.

Februari lalu, Putrajaya dilaporkan berkata, ia berhasrat menghapuskan mekanisme tol sedia ada selepas pengambilalihan lebuh raya dan akan memperkenalkan caj kesesakan.

Semalam, Gamuda Bhd dilaporkan menerima cadangan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) membabitkan pengambilalihan semua kepentingan ekuiti kumpulan itu dalam 4 syarikat konsesi.

“Lembaga Pengarah Gamuda akan membuat pengumuman sewajarnya kelak selepas melalui pelbagai proses berkaitan yang membabitkan syarikat sekutu dan syarikat usaha sama berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.