Kenyataan Muhyiddin mengenai Teoh pandangan peribadi, kata Gobind

Gobind Singh Deo.

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini cuba meredakan kebimbangan terhadap kenyataan Muhyiddin Yassin mengatakan keluarga Teoh Beng Hock, yang ditemui mati selepas ditahan dalam siasatan rasuah pada 2009, membuat tuntutan pampasan yang tidak munasabah.

Menteri dalam negeri itu mengundang kritikan selepas beliau berkata kerajaan sudah menggunakan semua proses undang-undang untuk kes itu, termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan membayar pampasan kepada keluarganya.

Gobind berkata kenyataan Muhyiddin adalah pandangan peribadi.

“Orang yang akan membuat keputusan muktamad adalah peguam negara,” katanya kepada pemberita pada satu acara di sebuah universiti swasta hari ini.

Gobind berkata siasatan akan diteruskan, seperti yang telah diputuskan oleh jemaah menteri.

“Kita tunggu pengumuman daripada peguam negara dan ambil langkah susulan daripada situ,” katanya.

Teoh adalah pegawai politik kepada exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah apabila dia ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan rasuah.

Keesokan harinya, dia ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, yang menempatkan pejabat SPRM.

Suruhanjaya Siasatan Diraja menyimpulkan Teoh terdorong untuk membunuh diri kerana kaedah soal siasat yang agresif oleh pegawai-pegawai SPRM.

Pada 2011, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya dipercepatkan oleh tindakan yang menyalahi undang-undang dan menyalahkan pegawai-pegawai SPRM.

Pihak keluarga kemudian memfailkan tindakan undang-undang sivil terhadap kerajaan, SPRM dan 10 pegawai kerana kecuaian dan serangan.

Tahun lepas dilaporkan polis akan melakukan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh berikutan arahan daripada Jabatan Peguam Negara.